Oleh: Maznah Othman
Tanjong Malim, 12 Mac 2025 – Seramai 101 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Microsoft Skills Workshop, sebuah program anjuran English Language Society (ELS) Sesi 2024/2025 dengan kerjasama Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), UPSI.
Program ini diadakan di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAS), UPSI, bertujuan meningkatkan literasi digital serta membekalkan peserta dengan kemahiran asas dalam penggunaan alatan Microsoft bagi mendorong inovasi dan produktiviti.
Program ini telah disempurnakan oleh penasihat ELS, Dr. Khazaila Zaini yang dalam ucapannya menekankan kepentingan penguasaan kemahiran digital dalam era teknologi moden, khususnya dalam bidang pendidikan dan kerjaya.

Selain itu, program ini turut menampilkan penceramah jemputan, En. Hisyam Bontak yang merupakan Microsoft Certified Trainer dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan turut dihadiri oleh En. Ahmad Kamil Midin, pegawai yang mewakili Pusat ICT, UPSI.
Sepanjang sesi bengkel, beliau berkongsi dengan para peserta pengetahuan dan pengalaman praktikal mengenai penggunaan perisian Microsoft seperti Word, Excel, dan PowerPoint serta teknik terbaik dalam pengurusan dokumen digital dan produktiviti kerja.

Menurut Dr. Khazaila, program seperti ini sangat penting dalam menyediakan pelajar dengan kemahiran digital yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dunia moden.
“Kami berharap bengkel ini dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada pelajar dan meningkatkan kecekapan mereka dalam penggunaan teknologi maklumat,” katanya.
Para peserta turut memberikan maklum balas yang positif, dengan ramai yang menyatakan bahawa bengkel ini membantu mereka memahami fungsi-fungsi Microsoft dengan lebih baik serta memberikan pendedahan kepada panduan dan teknik yang berguna dalam mengurus tugasan akademik serta profesional.
Penganjuran Microsoft Skills Workshop ini membuktikan komitmen ELS dan Pusat ICT, UPSI dalam memperkasakan kemahiran digital dalam kalangan pelajar, sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan pasaran kerja semasa.

Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan pelajar yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran dunia digital.
