BANGI, 16 Disember 2025 – Kepakaran dan pengalaman Pusat ICT Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang inovasi serta transformasi digital terus mendapat pengiktirafan apabila Ts. Abdul Mueiz bin Rosli, Pegawai Teknologi Maklumat Kanan merangkap Ketua Unit Aplikasi eKampus (UAeK), dijemput sebagai juri rasmi bagi pertandingan Virtual Innovation Competition & Exhibition 2025 (VICE’25) anjuran Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi.

Majlis Perasmian Penutup VICE’25 telah berlangsung di Dewan Auditorium KPTM Bangi, bermula seawal jam 8.30 pagi dengan ketibaan tetamu jemputan dan barisan VIP.

Majlis diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu MARA, diikuti bacaan doa serta ucapan aluan dan ucapan perasmian penutupan oleh Pengarah KPTM Bangi, Encik Ku Mohd Akhir bin Ku Saad.

Suasana majlis diserikan lagi dengan tayangan montaj VICE’25 serta penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan terhadap usaha, idea dan kreativiti para peserta.

Sebagai juri jemputan, kehadiran Ts. Abdul Mueiz bukan sahaja mencerminkan jaringan profesional yang kukuh antara Pusat ICT UPSI dan institusi pendidikan serta latihan teknikal, malah turut menzahirkan keyakinan penganjur terhadap kompetensi warga Pusat ICT dalam bidang inovasi, teknologi digital dan penilaian akademik.

Ketua Pegawai Digital UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad, menyifatkan penglibatan ini sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan strategik Pusat ICT UPSI dalam ekosistem inovasi negara.

“Penglibatan pegawai Pusat ICT UPSI sebagai juri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa mencerminkan keyakinan pihak luar terhadap kepakaran yang dibangunkan secara konsisten di UPSI. Ini selari dengan aspirasi universiti untuk menyumbang kepakaran digital dan inovasi secara lebih meluas kepada masyarakat serta industri pendidikan,” katanya.

Peranan Ts. Abdul Mueiz sebagai juri di VICE’25 melengkapkan satu rekod penjurian yang kukuh sepanjang tahun 2025, merangkumi pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya:

  1. Virtual Innovation Competition & Exhibition 2025 (VICE’25) – Kolej Poly-Tech MARA Bangi
  2. 3rd META-RISE International Competition 2025 (Yogyakarta Edition) – anjuran bersama UPSI dan Universitas Teknologi Digital Indonesia
  3. Malaysia Grand Invention Expo 2025 (MaGIEx 2025) – UiTM Cawangan Kelantan dan Digit360 HQ
  4. Kuantan International Invention & Innovation Challenge 2025 – Kolej Vokasional Kuantan
  5. International Invention & Innovative Competition (INIIC) 2025 – MNNF Network
  6. International Information Management Online Showcase (IIMOS 2025) – UiTM Cawangan Kelantan
  7. International Innovation Competition on Future Education 2025 (IICFE 2025) – Universiti Sultan Zainal Abidin
  8. International Invention, Innovation & Entrepreneurship Idea Competition (i3EC’25) – Kolej Poly-Tech MARA Kuantan

Penglibatan berterusan Ts. Abdul Mueiz dalam program seumpama ini terus mengukuhkan peranan Pusat ICT UPSI sebagai pemacu inovasi digital universiti melalui kepakaran teknikal, jaringan strategik dan penglibatan aktif dalam ekosistem inovasi pendidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis VICE’25 diakhiri dengan sesi bergambar kenangan sebelum para jemputan bersurai pada jam 12.00 tengah hari.