MUALLIM , 13 Disember 2025 – Kolaborasi strategik antara Pusat ICT UPSI serta Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META) menarik perhatian ramai apabila kedua-duanya tampil bersama dalam sesi Pocket Talk bertajuk “AI: Rakan Strategik atau Pencuri Kreatif?”.
Program ini merupakan salah satu pengisian utama Karnival Muallim F.A.M.E. anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, sebuah karnival komuniti yang julung kali diadakan di daerah Muallim berteraskan konsep Fun, Art, Music dan Education.
Sesi ini menampilkan dua figura UPSI, iaitu Pensyarah Universiti merangkap Penyelaras Unit E-Pembelajaran, Dr. Ahmad Wiraputra Selamat serta Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Pusat ICT UPSI, Ts. Abdul Mueiz Rosli.
Gabungan kepakaran akademik dan pengalaman teknikal ini memberi dimensi komprehensif terhadap peranan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan, kreativiti dan kehidupan seharian.
Ketua Pegawai Digital UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, menyatakan bahawa inisiatif seperti ini membawa manfaat yang nyata kepada rakyat.
“Apabila universiti turun ke lapangan dan berkongsi ilmu teknologi dengan komuniti, ia memberi peluang kepada rakyat untuk memahami peranan AI dalam kehidupan mereka. Inisiatif seperti Pocket Talk ini meluaskan horizon pemikiran masyarakat dan menyokong aspirasi negeri serta negara dalam membina masyarakat celik digital,” ujarnya.
Dalam konteks pendidikan dan kreativiti, Dr. Ahmad Wiraputra menegaskan bahawa AI perlu dilihat sebagai alat yang mempertingkat kreativiti manusia.
“AI bukan pengganti kreativiti, tetapi pemangkin yang mempercepat proses idea dan penghasilan karya. Jika dimanfaatkan dengan betul, ia menjadi rakan strategik yang membantu kita mencipta impak lebih besar dalam pembelajaran dan industri kreatif,” jelas beliau.
Dari sudut teknikal, Ts. Abdul Mueiz menerangkan bahawa keberkesanan penggunaan AI bergantung kepada pemahaman manusia dalam menguruskannya.
“Perdebatan sama ada AI mencuri kreativiti atau menyokong produktiviti bergantung kepada cara kita mengurus penggunaannya. Peranan kita ialah memastikan AI digunakan secara beretika, selamat dan memberi nilai tambah kepada masyarakat serta organisasi,” katanya.
Karnival Muallim F.A.M.E., yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, muncul sebagai platform penting dalam memupuk budaya teknologi dan ekonomi kreatif di daerah Muallim.
Dengan gabungan elemen keseronokan (Fun), seni (Art), muzik (Music) dan pendidikan (Education), karnival ini bukan sahaja meraikan bakat masyarakat setempat, tetapi turut memperkayakan nilai pembelajaran melalui sesi ilmiah seperti Pocket Talk.



Kehadiran UPSI dalam program ini memperkukuh komitmen universiti dalam memperluas literasi digital, inovasi serta keterlibatan komuniti.
Melalui kolaborasi META dan Pusat ICT UPSI, program ini membuka ruang dialog yang bermanfaat mengenai masa depan AI, sambil memperlihatkan bagaimana teknologi dapat diimbangi dengan nilai kreativiti dan kemanusiaan.
Kerjasama ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif komuniti-digital pada masa hadapan, sekali gus menjadikan Muallim sebagai pusat pertumbuhan teknologi dan kreativiti yang progresif.
