Oleh : Maznah Othman
Tanjong Malim, 15 Mei 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus melakar sejarah apabila membentuk satu kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam pembangunan sistem kewangan baharu, MyFISNeo.
Kejayaan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap keupayaan UPSI membangunkan sistem kewangan berasaskan sumber terbuka yang berkesan dan lestari, serta memperkukuh transformasi digital di institusi pengajian tinggi awam Malaysia.
UPSI menjadi agensi Badan Berkanun Persekutuan (BBP) di bawah KPT yang pertama melalui Penilaian Jawatankuasa Pematuhan Standard Accounting System for Government Agencies (SAGA) bagi tahun 2022, sekali gus memperoleh pensijilan SAGA sebanyak 2 kali untuk Sistem Kewangan MyFIS Neo iaitu pada 31 Mei 2012 dan 31 Mac 2022.


Sistem MyFISNeo yang bakal dibangunkan untuk UNIMAS bukan sahaja berfungsi sebagai sistem kewangan konvensional, malah merangkumi integrasi pelbagai modul, pemindahan data sejarah, dan latihan komprehensif untuk pengguna akhir. UPSI bersedia menawarkan keupayaan kepakaran yang ada dalam usaha menyesuaikan solusi teknologi mengikut keperluan khusus sesebuah institusi.
MyFISNeo juga akan dijenamakan semula sebagai MyFAS bagi memenuhi identiti UNIMAS.
Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed menyambut baik kepercayaan yang diberikan oleh UNIMAS.
“Kita di UPSI sudah buktikan yang kita bukan sekadar pengguna sistem – kita bina sendiri, kita jaga sendiri.
” Apabila UNIMAS menyatakan tawaran kerjasama, itu satu bukti besar kepercayaan pada kepakaran UPSI,” ujar beliau dalam sesi pertemuan Mesyuarat Kick Off dan Mesyuarat Teknikal bagi Projek Pengkomersilan MyFIS dan UNIMAS yang berlangsung di Meritin Hotel, Kuching, Sarawak pada Februari 2025 yang lalu.



Sementara itu, Ketua Pegawai Digital UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, turut menghargai keyakinan yang diberikan.
Beliau memberikan jaminan terhadap keupayaan pasukan teknikal UPSI, khususnya Pusat ICT, yang akan terlibat secara langsung dalam pembangunan sistem ini.
“Kami di Pusat ICT, UPSI amat menghargai peluang kerjasama ini dan kami bersedia untuk bekerja bersama UNIMAS. Dengan pengalaman yang kami miliki, pasukan kami komited untuk memberikan yang terbaik dan memastikan kejayaan projek ini,” tambah beliau.
Projek ini dikendalikan oleh pasukan pengurusan projek dari kedua-dua universiti, dengan UPSI diterajui oleh Pegawai Teknologi Maklumat, Mohammad Firdaus Zainun sebagai Pengurus Projek.
Sepanjang pelaksanaan awal tahun ini, beberapa inisiatif teknikal utama telah berjaya dilaksanakan.
Terdahulu pada 14 Februari, Mesyuarat Kick-Off dan Mesyuarat Teknikal Projek Pengkomersilan MyFIS telah dilaksanakan,menandakan permulaan rasmi projek dengan perbincangan mendalam antara pasukan teknikal.
Bagi memperkukuh pemahaman keperluan sistem, bengkel Business Process Analysis (BPA) MyFISNeo Siri 1 telah dilaksanakan pada 14 hingga 17 April 2025 di Tun Abang Haji Openg Digital Centre (TAHODC), UNIMAS. Bengkel ini memetakan proses perniagaan semasa dan merancang penambahbaikan melalui sistem MyFISNeo.
Mohammad Firdaus Zainun, turut berkongsi perkembangan terkini projek ini.
“Terbaru, sesi semakan dan pengujian lanjutan bagi modul-modul penting MyFAS telah berjaya kita laksanakan pada 2 Mei. Antara modul yang terlibat ialah Student Account, ePayment, Payroll, Asset dan Store Management.
“Kami sedang berusaha memastikan kesiapsiagaan penuh sistem sebelum pelaksanaan rasmi, dan beberapa siri pertemuan lanjut juga telah dijadualkan bagi memperkukuh kelancaran keseluruhan projek,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak UNIMAS memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah meluluskan peruntukan melebihi RM900,000 bagi pelaksanaan Fasa 1 projek ini, yang akan digunakan untuk melaksanakan komponen utama sistem termasuk integrasi modul ePerolehan.
“UPSI membuktikan bahawa universiti awam bukan sahaja boleh berdikari dalam pembangunan sistem, tetapi juga mampu menjadi peneraju yang diiktiraf.
“UPSI akan terus komited membina ekosistem teknologi pendidikan tinggi yang lebih mampan, terbuka dan berdaya saing. Kami bersedia membantu lebih banyak universiti pada masa hadapan,” ujar Dr. Megat Azrin.
“Ini bukan hanya kerjasama, ini adalah misi bersama untuk menjadikan universiti awam lebih bebas dan berdaya digital,” tambah beliau.
