Oleh: Maznah Othman

Tanjong Malim, 24 Januari 2025 — Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengakhiri Program Sangkutan selama dua minggu bermula 13 Januari 2025.

Program ini menyaksikan penyertaan dua pegawai kanan dari Pusat Pengurusan Infostruktur & Rangkaian (PPIR), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), iaitu Ketua Bahagian Aplikasi Korporat, En. Mohd Lokman Hamid dan Ketua Bahagian Pengurusan Teknologi Aplikasi & Pangkalan Data, En. Nik Farid Nik Mohd.

Program ini dirangka khusus untuk memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua universiti dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), berfokuskan kepada perkongsian pengetahuan, kepakaran, dan amalan terbaik dalam pengurusan sistem aplikasi serta teknologi pangkalan data.

Pegawai Kanan dari Pusat Pengurusan Infostruktur & Rangkaian (PPIR), UNISZA bergambar bersama pegawai-pegawai kanan dari Pusat ICT UPSI.

Ketua Pegawai Digital (CDO) UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, dalam ucapannya menyatakan bahawa program ini bukan sekadar satu langkah simbolik, tetapi merupakan satu usaha baik ke arah memperkukuh ekosistem ICT di peringkat nasional.

“Kami di Pusat ICT UPSI sangat menghargai kehadiran dua pegawai kanan dari UNISZA ini. Program Sangkutan ini adalah platform terbaik untuk kita saling belajar, berkongsi pengalaman, dan membina kerjasama yang lebih kukuh.

Dengan semangat kolaborasi ini, kami yakin dapat bekerjasama bukan sahaja untuk memenuhi keperluan UPSI dan UNISZA, tetapi juga menyumbang kepada transformasi digital pendidikan tinggi di Malaysia,” ujar Dr. Megat Azrin.

Pusat ICT UPSI mengalu-alukan dua pegawai kanan PPIR, UNISZA dalam Program Sangkutan. Dari kiri: En. Nik Farid Nik Mohd, En. Mohd Lokman Hamid, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, dan En. Shahrul Azlan Mohamed Nor

Beliau turut menekankan bahawa program ini selaras dengan aspirasi nasional untuk memperkukuh daya saing institusi pendidikan tinggi melalui penggunaan teknologi yang lebih cekap dan inovatif.

“Kita sedang bergerak ke arah era digital yang lebih dinamik. Oleh itu, kerjasama seperti ini penting untuk memastikan kita tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital,” tambahnya.

Sepanjang dua minggu program ini, kedua-dua pegawai UNISZA akan terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti kolaboratif, termasuk sesi perkongsian amalan terbaik, pembangunan aplikasi, dan perbincangan strategik mengenai pengurusan pangkalan data.

Selain itu, mereka juga akan diberikan peluang untuk meninjau infrastruktur ICT terkini UPSI, termasuk pusat data dan sistem aplikasi yang sedang digunakan.

Dr. Megat Azrin turut menegaskan bahawa program ini adalah permulaan kepada hubungan yang lebih panjang dan berkesinambungan antara UPSI dan UNISZA.

En. Nik Farid Nik Mohd dan En. Mohd Lokman Hamid menerima plak penghargaan daripada En. Shahrul Azlan Mohamed Nor semasa sesi penutup Program Sangkutan.
En. Nik Farid Nik Mohd dan En. Mohd Lokman Hamid menerima plak penghargaan daripada En. Shahrul Azlan Mohamed Nor semasa sesi penutup Program Sangkutan.

Program Sangkutan ini juga dilihat sebagai satu usaha untuk memacu inovasi ICT yang relevan dengan keperluan semasa dan masa depan.

Menggabungkan kepakaran dan sumber dari kedua-dua universiti, UPSI dan UNISZA berhasrat untuk melahirkan penyelesaian teknologi yang lebih holistik, yang bukan sahaja menyokong keperluan akademik dan pentadbiran, tetapi juga meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhan.

Program ini selaras dengan aspirasi institusi pendidikan tinggi untuk memperkasa  transformasi digital dan memperkukuh ekosistem teknologi maklumat dalam menyokong operasi dan pembangunan akademik. Semoga jalinan kerjasama antara UPSI dan UNISZA dapat dieratkan lagi pada masa akan datang.