Oleh: Cik Adibah Yasmin Abdul Razak
Tanjong Malim, 11 Mac 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan tradisi menyemarakkan bulan Ramadan dengan penganjuran Majlis Iftar dan Penyerahan Infaq Ramadan UPSI 2025 bertempat di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Majlis penuh keberkatan ini merupakan anjuran Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) dengan kerjasama Pusat Wakaf, Endowment, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) serta Pusat Islam UPSI.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan oleh beberapa syarikat korporat termasuk Hong Leong MSIG Takaful Berhad yang menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000.00 melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Mohd Asri bin Omar.

Turut menyumbang ialah Fibrecomm Network (M) Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Ketua Pegawai Pemasaran, Tuan Mohd Rizal Md Diton dengan penyerahan Zakat Wakalah berjumlah RM25,000.00.
Sebagai usaha menyantuni golongan mahasiswa, seramai 100 orang pelajar UPSI menerima sumbangan RM100 seorang sebagai persediaan menyambut Syawal.

Sumbangan ini dilihat sebagai satu bentuk keprihatinan yang memberi makna besar kepada para pelajar, khususnya dalam suasana ekonomi yang mencabar.
Selain itu, Pusat WEZAS turut menyampaikan sumbangan Program Ihya’ Ramadhan WEZAS 1446H dan Iftar Al-Mursyidin dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM47,300.00. Penyerahan ini turut dilaksanakan semasa Perhimpunan Bulanan UPSI yang berlangsung pada 12 Mac 2025.

Majlis ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat ukhwah dan kepedulian sosial warga kampus, malah menjadi platform untuk memupuk budaya memberi dalam kalangan komuniti UPSI. Segala bentuk sumbangan yang diterima diharap menjadi amal jariah berkekalan dan mendapat keberkatan serta keredhaan daripada Allah SWT.
