Oleh: Bazli Razak
TANJUNG MALIM, 13 Mac – Sebanyak 3,500 naskhah Al-Quran Mufiq terbitan Nasyrul Quran akan dibekalkan kepada mahasiswa dan kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah kendalian Pusat Islam universiti itu.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, usaha ini merupakan komitmen berterusan universiti dalam menyantuni komuniti dan memastikan golongan yang memerlukan tidak dipinggirkan, terutamanya dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
“Ramadan adalah bulan kebersamaan dan kasih sayang. Inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat persaudaraan dalam kalangan warga UPSI, tetapi juga memberi peluang kepada kita untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,.
Menurut beliau, memahami Al-Quran sebagai panduan hidup dan menggalakkan warga UPSI untuk mengambil kesempatan adalah penting dalam memperkukuhkan hubungan dengan kitab suci tersebut.
“Al-Quran adalah pedoman utama dalam kehidupan kita. Dengan adanya program Tadabbur Al-Quran Mufiq, saya berharap mahasiswa dan kakitangan dapat mengambil manfaat daripada setiap ayat yang dibaca dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.



“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah berusaha menjayakan inisiatif ini. Semoga usaha ini terus subur dan memberi manfaat kepada lebih ramai pihak, bukan sahaja di UPSI tetapi juga kepada masyarakat luar yang memerlukan.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Perdana peringkat UPSI 2025 bertempat di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Tambah beliau, UPSI berusaha untuk mengekalkan tradisi mengadakan Majlis Berbuka Puasa Perdana Peringkat Universiti, Rewang Bubur Lambuk untuk setiap jabatan, Program Singgah Sahur bersama frontliners serta agihan bantuan kepada mereka yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
“Inilah nilai yang sentiasa diterapkan oleh UPSI bagi memupuk bakal pendidik agar lebih memahami erti kasih dan kepedulian terhadap masyarakat.
“Melalui program-program ini, mahasiswa bukan sahaja mendapat pendedahan akademik, tetapi juga diterapkan dengan nilai-nilai murni dan tanggungjawab sosial yang tinggi,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (WEZAS) UPSI turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan berupa duit raya kepada 50 orang anak-anak dari Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS).
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI, Encik Muhammad Tarmizi Abdul Rahman berkata, pengedaran Al-Quran ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pemahaman dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan warga universiti melalui program Ihya’ Ramadan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.
“Program ini bukan sekadar memberi peluang kepada mahasiswa dan kakitangan untuk memiliki Al-Quran, tetapi juga membantu mereka memahami serta mentadabbur ayat-ayat suci dengan lebih mendalam.
“Ia sejajar dengan aspirasi UPSI dalam membentuk modal insan yang seimbang dari segi akademik dan kerohanian,” menurut kenyataan itu,” katanya.