Oleh: Muhammad Azfar Malem, Mimi Batrisyia Mohd Norli dan Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim, 17 April 2025 – Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) bersama Persatuan Pendidikan Islam (PPI), di bawah Institut Penyelidikan Pengajian Tahfiz dan Turath Islami (IPPTTI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Sambutan Aidilfitri IPPTTI 2025 dengan tema ‘Pelita Ukhuwah, Cahaya Cinta Syawal‘. Program yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah ini menghimpunkan 500 orang warga IPPTTI dalam suasana Syawal yang penuh kasih, ceria dan mesra.
Sambutan ini bertujuan menyemai nilai ukhuwah, kasih sayang dan kebersamaan dalam kalangan mahasiswa. Kolaborasi erat antara dua persatuan utama di bawah IPPTTI ini bukan sahaja memperlihatkan semangat kerjasama tetapi juga membuktikan keupayaan pelajar dalam menganjurkan program berskala besar dengan penuh komitmen.


Kelainan turut disuntik dalam sambutan kali ini apabila setiap ahli persatuan diminta untuk mendirikan booth berdasarkan semester masing-masing. Setiap booth dihias kreatif dan menyajikan pelbagai hidangan yang mencerminkan kepelbagaian cita rasa serta keunikan budaya pelajar. Pendekatan ini berjaya menggalakkan interaksi antara semester dan menyemarakkan suasana Syawal yang harmoni dan inklusif.

Pengarah program, Muhammad Azfar, menyatakan bahawa Aidilfitri membawa bersama konsep ukhuwah yang sangat signifikan dalam kehidupan berkomuniti. “Penyediaan reruai oleh setiap semester bukan sekadar memeriahkan suasana, malah menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara ahli persatuan secara lebih rapat dan mesra,” ujar beliau. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa, pensyarah, dan seluruh ahli yang memberikan sokongan penuh dalam menjayakan majlis ini.
Prof Madya Dr. Husna Husain, selaku Ketua Jabatan Pengajian Islam, turut menyatakan rasa bangga dan syukur atas semangat pelajar dalam menjayakan sambutan ini. “Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja masa untuk meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, malah turut berpeluang mengeratkan ukhuwah antara warga persatuan. Saya bangga dengan semangat kerjasama dan kasih sayang yang ditonjolkan oleh para pelajar dalam menjayakan majlis ini. Semoga nilai murni ini akan terus terpancar dalam kehidupan kita,” ujar beliau.

Majlis diteruskan dengan sesi menjamu selera yang meriah di setiap reruai, diiringi penilaian dekorasi booth oleh penasihat kedua-dua persatuan berdasarkan kreativiti dan penyampaian. Ini menambah elemen persaingan sihat dalam kalangan peserta dan menyerlahkan bakat serta kreativiti pelajar.


Secara keseluruhannya, sambutan Aidilfitri IPPTI 2025 telah berlangsung dengan jayanya dan mencapai matlamat yang dirancang. Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli persatuan, malah turut menyerlahkan semangat kerjasama, kesungguhan dan nilai-nilai murni yang wajar terus dipupuk dalam kalangan mahasiswa
