Oleh: Farah Nabiela Md Nazri, Muhammad Irham Ruslan Fadzil & Cik Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim, 18 April 2025 – Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Institut Penyelidikan Pengajian Tahfiz dan Turath Islami (IPPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah menganjurkan Program Talk Sharing yang berimpak tinggi dengan penglibatan pelbagai persatuan dalam dan luar UPSI. Program yang disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube Live: Media PTQ Official ini telah mendapat sambutan luar biasa dengan jumlah tontonan mencecah 1,500 penonton, merangkumi mahasiswa dan orang awam dari pelbagai institusi pengajian tinggi. Program ini mendapat kerjasama daripada Persatuan Bahasa Melayu UPSI, Persatuan Pendidikan Islam UPSI, Persatuan Geografi UPSI, Kelab Sahabat Ulul Albab UPSI, dan Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan UPSI, selain sokongan padu daripada persatuan universiti luar seperti Jam’iyyatu Khadamati Quran IIUM, Ma’ruf Club IIUM, Persatuan Mahasiswa Islam UM, Kelab Mahasiswa Islam UM, Kelab Mahasiswa Program Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah UKM, Kelab Rakan Siswa YADIM UUM, serta Persatuan Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) USIM.

Salah seorang peserta berkongsi pengalamannya, “Program ini buat saya lebih bersemangat. Banyak pengajaran yang dapat diambil daripada penceramah, serta hikmah dan ilmu yang saya dapat aplikasikan dalam kehidupan. Yang menarik perhatian saya juga ialah adanya cabutan bertuah sepanjang program ini berlangsung.”

Secara keseluruhan, Program Talk Sharing bukan sahaja menjadi platform keilmuan dan inspirasi, tetapi turut memperkukuh keperluan untuk melahirkan graduan berdaya tahan, berdaya cipta dan berkepimpinan tinggi, seiring dengan hasrat Dasar Pendidikan Tinggi Negara dan aspirasi Malaysia MADANI. Pengisian program yang membina jati diri, memperkasa nilai insaniah dan memperkukuh jaringan sosial ini mencerminkan usaha berterusan UPSI dalam menyokong matlamat negara melahirkan graduan holistik dan seimbang, yang bukan hanya cemerlang akademik, malah mempunyai keupayaan adaptasi tinggi terhadap realiti masa hadapan.
