Oleh: Muhammad Mursyid Md Salman

Tanjong Malim, 17 April 2025 – Persatuan Pendidikan Islam (PPI) dan Persatuan Tahfiz Al-Quran (PTQ) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi sidang 2024/2025 telah menganjurkan Rabitah al-Qulub 2.0. Program ini telah dilaksanakan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI dengan dihadiri seramai lebih 550 peserta yang terdiri dari kalangan pelajar, pensyarah dan kakitangan Jabatan Pengajian Islam UPSI.

Program ini merupakan rentetan dari Program Rabitah al-Qulub yang telah dilaksanakan pada tahun 2024 dengan tujuan pertemuan di antara pensyarah dan pelajar di Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (IPTTI). Selain itu, program ini juga memberi ruang pelajar untuk berkenalan dengan penasihat akademik masing-masing di samping mengeratkan hubungan ukhuwah antara dua program di bawah Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (IPTTI) iaitu pelajar Persatuan Pendidikan Islam (PPI) dan Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ). Program ini juga mengetengahkan amanat daripada Yang Dipertua PPI dan PTQ yang bakal menjelaskan tentang masa depan masing-masing persatuan kepada seluruh warga Jabatan Pengajian Islam.

Program ini juga merupakan platform terbaik bagi memberikan pendedahan mengenai penubuhan Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (IPTTI). Setiap peserta akan didedahkan mengenai hala tuju, visi dan misi yang ingin dicapai oleh IPTTI sebagai sebuah pusat tanggungjawab yang bakal berpisah dari Fakulti Sains Kemanusiaan menjelang tahun 2027. Program ini juga akan memberi peluang kepada barisan kepimpinan PPI dan PTQ untuk menyatakan aspirasi dan perancangan program yang bakal dianjurkan pada masa mendatang. Program ini juga dapat mempererat ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan pensyarah dan pelajar Jabatan Pengajian Islam di samping menyambut kejayaan menunaikan ibadah puasa.

Semoga ukhuwah yang terbina antara antara semua bakal asatizah UPSI ini menjadi titik permulaan bagi pemerkasaan institusi agama Islam dan pendidikan tahfiz di masa hadapan.