Oleh : Profesor Madya Dr. Arasinah Kamis8

MALANG, INDONESIA, 6 Mei 2025 – Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila aktif menyertai Vocational Inter-Cultural Camp (VICC) 2025 dan Asian Student Fashion Week (ASFW) 2025 di Universitas Negeri Malang, Indonesia.

Acara VICC 2025 yang bertemakan “Building Bridges: Connecting Skills to Community Needs” mengumpulkan lebih 100 pelajar dari pelbagai negara. Pelajar UPSI terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk kajian kes khidmat masyarakat, bengkel seni budaya, lawatan NGO, dan aktiviti komuniti setempat. Melalui aktiviti ini, pelajar diberi peluang untuk membina program pembangunan masyarakat yang inklusif dan lestari berdasarkan keperluan sebenar masyarakat di Malang.

Menurut salah seorang pelajar UPSI, Nur Arisha Izreen Abdul Rahim, “Pengalaman ini amat berharga kerana kami dapat mempraktikkan teori pembangunan komuniti dalam suasana sebenar sambil memupuk kefahaman antara budaya.” Menambah seri penyertaan Malaysia, pensyarah dari Kolej Komuniti dan Politeknik Ibrahim Sultan Johor Bharu turut mempamerkan keunggulan rekaan dalam pertandingan fesyen yang diadakan sempena Asian Student Fashion Week 2025 pada 3 dan 4 Mei.

Pertandingan ini menyaksikan para peserta menampilkan rekaan fesyen bertemakan “Paradoxal”, yang menggabungkan inovasi teknologi dengan tradisi budaya Asia. Penyertaan daripada pensyarah Kolej Komuniti, Mohd Imran Ahmad Kamal, Noraliza Abu bakar, Shabana Mohamad Yusoff, Azhani Hasibah Ab Karim dan Nor Liza Sedon dari Kolej Komuniti dan seorang pensyarah dari Politeknik Ibrahim Sultan Johor Bharu iaitu Norulaini Mohd Ramly yang bersaing di peringkat akhir bagi kategori Fashion Design, manakala Zulaikha Zainul Arif pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Rumah Tangga dari Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI dapat memasuki peringkat akhir bagi kategori Fashion Illustration atas keberanian membawa konsep bertemakan Paradoxal dalam rekaan busana.

Selain itu, turut membanggakan jemputan khas Profesor Madya Dr Arasinah Kamis sebagai juri dan Guest Lecturer di ASFW adalah satu perkongsian dan sumbagan yang baik. Turut sama mengiringi pelajar dalam program adalah pereka fesyen iaitu Senijulita Johari daripada FTV, UPSI.

Penglibatan pelajar dan pensyarah ini telah membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja mampu bersaing di pentas global dalam bidang akademik dan vokasional, malah menyerlah dalam bidang kreatif dan inovasi fesyen. Majlis Penutupan telah berlangsung meriah dengan penyampaian sijil penghargaan dan anugerah kepada semua peserta di Graha Cakrawala, Universitas Negeri Malang, menandakan komitmen kukuh institusi pendidikan Malaysia dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.