Oleh: Nur Fatin Najihah Mat Nasir dan Dr. Nur Ainul Basyirah Alias

Tanjong Malim, 20 April 2025 – Hal Ehwal Siswi Persatuan Pendidikan Islam (PPI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2024/2025 telah menganjurkan sebuah program yang diberi nama Helwi’s Day: Cantik Dengan Syariat, Pemeliharaan Diri Secara Halal. Program ini telah dilaksanakan di Dewan Banquet, E-Learning, KSAJS, UPSI dan turut melibatkan penyertaan aktif daripada 25 orang ahli jawatankuasa program dan seramai 34 orang peserta.  

Helwi’s Day merupakan satu program yang dijalankan khusus kepada mahasiswi sebagai persediaan dalam meningkatkan keyakinan diri sebagai bakal guru. Menarik lagi, program yang akan diadakan bukan hanya mengetengahkan aspek ilmu sahaja, bahkan juga kecantikan dan cara pemakaian berdasarkan syariat Islam. Walhal daripada itu, semua perancangan program yang dicadangkan ini cuba untuk membuka mata semua bahawa segala kecantikan perlu berada dalam acuan Islam bersesuaian dengan ciri muslimah sejati sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT.

Program ini turut menjemput Puan Muna ‘Izzah Fadzil, Perunding Imej dan Komunikasi Profesional bagi memberikan pencerahan kepada mahasiswi tentang cara wanita berpakaian dan berhias sekaligus mengaplikasikan adab-adab berpakaian mengikut syariat. Selain itu juga, aktiviti seperti “Make-Up Battle”, “Music Chair” dan juga “Pop Balloon” juga turut diadakan bagi meningkatkan keyakinan dan merapatkan ukhuwwah antara mahasiswi yang hadir.

Aktiviti-aktiviti ini dirancang untuk merangsang pemikiran kritis, memperkasa jati diri, dan meningkatkan keyakinan diri. Melalui program sebegini, para mahasiswi bukan sahaja berpeluang untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan, tetapi juga diberikan peluang untuk membentuk akhlak dan keperibadian yang lebih baik, sekaligus mempersiapkan mereka untuk menjadi pendidik yang holistik dan berkualiti di masa hadapan.

Melalui perbincangan dan kolaborasi, diharapkan semoga insiatif kecil ini mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti mahasiswi di Malaysia dan memberi kesedaran kepada wanita-wanita Islam terutamanya dalam kalangan mahasiswi UPSI bahawa pada hakikatnya mereka juga memainkan peranan penting dalam membawa imej dan pengaruh Islam.