oleh: Muhammad ‘atikullah Mat Nasir
Tanjong Malim, 28 April 2025 – Lajnah Tarbiyyah dan Imarah Masjid Kelab Al-Mursyidin (AMC) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi telah menganjurkan Program Iftar Al-Mursyidin 3.0 yang berlangsung di Masjid Al-Mursyidin UPSI.
Program ini dianjurkan khusus untuk mengeratkan ukhuwah antara warga UPSI dan penduduk sekitar di samping menjadi tarikan kepada jemaah untuk datang meramaikan lagi jemaah di Masjid Al-Mursyidin.
Program yang memasuki edisi ketiganya ini dianjurkan sebagai platform memperkukuh hubungan antara komuniti universiti dengan masyarakat setempat melalui amalan berbuka puasa dan solat fardu secara berjemaah di samping diselitkan dengan kuliah maghrib.



Bagaimanapun, sambutan bagi program ini agak suram atas faktor-faktor yang dikenal pasti. Faktor-faktor seperti hujan pada sebelah petang, kekangan masa pelajar dan persaingan dengan program lain di kawasan sekitar dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada kehadiran yang rendah.
Seorang wakil penganjur menyatakan, “Walaupun kehadiran agak kurang berbanding edisi sebelumnya, semangat kerjasama dalam kalangan ahli jawatankuasa dan komuniti masjid tetap tinggi. Kami akan menilai semula pendekatan promosi dan tarikan program pada masa hadapan.”


Penganjur berharap agar program seumpama ini dapat terus diperkasakan dengan sokongan lebih menyeluruh pada masa akan datang demi memperkukuh nilai kebersamaan dalam kalangan warga kampus dan masyarakat luar.
