Sesi bergambar bersama guru penasihat MRSM Bagan Datuk

Oleh: Ainul Nisha Ishami Mohamad Zaki

Bagan Datuk, 8 Mei 2025 – Program Chemistry-In-Action (CIA) UPSI X IQDAE anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dianjurkan dengan penyertaan aktif seramai 123 orang murid tingkatan lima Maktab Rendah Sains MARA Bagan Datuk.

Objektif utama Program CIA UPSI X IQDAE adalah untuk mmantapkan pengetahuan murid-murid tingkatan lima terhadap konsep asas kimia dalam silibus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) yang interaktif.

Program ini berbentuk eksplorasi (explorace) yang bertemakan ‘penyiasatan’ dimana para murid perlu melakukan penyiasatan mengenai kes pembocoran gas pencemar di makmal sekolah dan merungkaikan suspek utama bagi kes ini.

Bagi menyelesaikan kes pembocoran gas pencemar ini, para pelajar perlu melalui 12 stesen yang berbeza dan menyelesaikan masalah-masalah yang melibatkan konsep-konsep kimia seperti struktur atom, ikatan kimia, elektrokimia, asid dan bes, polimer, dan hidrokarbon.

Selain itu, program ini turut menampilkan beberapa pameran interaktif seperti pameran pusat STEM UPSI, Pusat Nano UPSI dan pameran ‘Jom Masuk Diploma Teknologi Makmal’ oleh Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI.

Tidak dilupakan jugapermainan papan Homolog Odyssey dan permainan digital ‘STEM Roll-a-Dice’ yang masing-masing dibangunkan oleh pensyarah-pensyarah kanan Jabatan Kimia FSM.

Melalui pendedahan secara interaktif ini, murid-murid bukan sahaja dapat membentuk kerjasama yang kuat antara ahli kumpulan malahan mereka dapat mengasah pengetahuan yang sedia ada dalam menyelesaikan masalah konsep kimia yang diberikan  melalui aktiviti pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan.

Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) UPSI amat berbesar hati kerana dapat menyumbang tenaga dan ilmu kepada murid-murid tingkatan lima MRSM Bagan Datuk.

Program seperti ini jelas dapat menjadi platform yang penting untuk mendedahkan kepada murid keseronokkan mempelajari subjek kimia melalui aktiviti eksplorasi berkonsepkan cabaran interaktif yang menyeronokkan dan mencabar sekaligus membantu dalam persediaan SPM murid-murid tingkatan lima tersebut.

Stesen Atomic Dash
Pameran Interaktif Pusat STEM UPSI
Sesi penutupan program CIA

Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dari program ini dapat diteruskan lagi di sekolah-sekolah yang lain bagi meningkatkan minat pelajar terhadap subjek kimia dengan memperkenalkan pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) dan penyelesaian masalah dalam bentuk permainan interaktif.