Oleh : Nurul Amanina binti Mohd Yusop

Tanjong Malim, 19 Mei 2025– Exco Penginapan dan Kebajikan, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2024/2025 telah mengadakan sebuah program syarahan khususnya golongan remaja sebagai satu platform yang sewajarnya kepada generasi muda agar dapat menyerlahkan bakat kepimpinan melalui kemahiran komunikasi di hadapan khalayak ramai. Program ini dianjurkan supaya dapat meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan kesejahteraan sejagat melalui platform Syarahan.

Fairymond Filipi Ak Juny, Pengarah Program ini berterima kasih kepada peserta-peserta serta guru-guru pengirin kerana sudi hadir bagi menyertai pertandingan Syarahan ini. Beliau juga berharap agar setiap peserta bukan sahaja memperlihatkan kefasihan dalam menggunakan bahasa Malaysia untuk berhujah, malah mampu menzahirkan keyakinan diri yang tinggi, dan mampu menyalurkan idea-idea yang bernas serta berwawasan kritis yang mampu merangsng pemikiran rakan sebaya. 

Dr. Che Anuar Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid juga berasa sangat bersyukur kerana program ini dapat dijalankan dengan lancar serta menerima peserta-peserta pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina dan India hadir bagi menyertai Program Syarahan peringkat sekolah menengah dengan menggunakan Bahasa Malaysia. Malahan program seperti ini dapat memberi impak yang sangat positif dalam keharmonian masyarakat di Malaysia serta mampu memartabatkan bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia.

Program ‘Arkan 25’: Pertandingan Syarahan Remaja Peringkat Kebangsaan 2025 yang bertemakan “Kesejahteraan Sejagat” ini telah mendapat sambutan yang sangat menakjubkan pada peringkat awalan kerana telah menerima penghantaran Syarahan berbentuk video lebih daripada 100 orang peserta peringkat sekolah di seluruh Malaysia. Namun begitu, setelah membuat tapisan mengikut kriteria yang telah ditetapkan, seramai 20 orang peserta sahaja yang layak untuk bertanding di Pentas Dewan Kolej Harun Aminurrashid, UPSI.

Chah Wei Yuan dari SMK Subang Utama, Selangor sedang menyampaikan syarahan.

Program ini telah memberi impak yang sangat positif kerana telah membuka peluang kepada para pelajar untuk mencuba menyuarakan syarahan mereka di peringkat kebangsaan. Dengan adanya tema tentang “Kesejahteraan Sejagat” sebagai fokus utama pertandingan syarahan, para peserta berpeluang untuk meneroka aspek fizikal, mental, emosi dan rohani dalam kehidupan seharian, meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjagaan diri secara holistik, tetapi juga dapat memantapkan kebolehan dalam membuat analisis dengan mengaitkan teori-teori kesejahteraan kepada cabaraan sebenar seperti tekanan akademik, kerjasama antara rakan, dan keseimbangan aktiviti kokurikulum.

Selain itu, peserta akan diasah untuk membangunkan sifat empati dan kepekaan sosial melalui penyelidikan dan pengalaman peribadi. Bukan itu sahaja, proses ini diharapkan mampu untuk memupuk daya kreatif dan kemahiran komunikasi yang berkesan, seterusnya mampu menyemai semangat untuk membina masyarakat yang produktif.