Oleh: Muhamad Shairul Awang
Tanjong Malim, 17 Mei 2025 – Exco Penginapan dan Kebajikan, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2024/2025 telah menganjurkan sebuah program pengucapan awam bertujuan untuk memperkasa kemahiran komunikasi khususnya dalam bahasa Inggeris, bagi kalangan mahasiswa dan belia.
Program ini juga bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada seluruh masyarakat khususnya generasi muda tentang kepentingan menjaga kesejahteraan komuniti dengan penekanan terhadap kesihatan mental sebagai asas keharmonian sosial.
Bukan itu sahaja, program ini juga dapat memberi peluang kepada golongan mahasiswa dan belia untuk membincangkan secara terbuka mengenai langkah-langkah berkesan dalam memperkukuh kesejahteraan bersama melalui aktiviti pengucapan awam yang dianjurkan.



Fairrymond Filipi Ak Juny selaku Pengarah Program menzahirkan rasa syukur atas kejayaan program ini. Beliau berharap agar program ini bukan sahaja menjadi platform untuk mahasiswa menyerlahkan bakat dan potensi diri dalam bidang pengucapan awam, tetapi juga menjadi medan untuk melatih keyakinan, pemikiran kritis, dan keupayaan menyampaikan idea secara berkesan.
“Sebagai mahasiswa universiti, kehidupan yang dilalui bukan hanya tertumpu kepada aspek akademik semata-mata, malah turut disertai dengan pelbagai cabaran yang memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan emosi.
“Tekanan dalam menyesuaikan diri, beban pelajaran, serta komitmen terhadap tanggungjawab lain sering kali menjadi faktor yang menguji ketahanan diri mahasiswa pada hari ini,” ujarnya.
Diharapkan, program seperti ini dapat menjadi ruang yang bukan sahaja boleh memperkukuh kemahiran insaniah, malah menyumbang kepada kesedaran dan keseimbangan dalam kehidupan mahasiswa secara menyeluruh.
Program The Trophy: The Road To Outstanding Public Speaking For Hopeful Youth yang mengutarakan isu kesejahteraan sejagat dan beperingkat Antarabangsa ini telah menerima tumpuan dari seluruh Institut Pendidikan Tinggi di Malaysia seperti UPSI, UiTM, MMU, UNITAR, USM bahkan di luar negara dengan membawakan peserta dari Zimbabwe.
Pertandingan ini telah menerima sebanyak 20 penyertaan secara atas tralian dan menerima juga daripada Indonesia dan Vietnam.
Setelah video penyertaan peserta dalam talian dinilai, hanya 8 orang peserta sahaja akan dibawa untuk bertandingan secara bersemuka di pentas Dewan Kolej Harun Aminurrashid, UPSI.
Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Che Anuar Che Abdullah selaku Pengetua Kolej Haruan Aminurrashid turut berasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana program ini dapat dijalankan dengan lancar.
Program ini juga, menampilkan kelainan iaitu para peserta akan menjalani empat fasa pusingan kompetitif sepanjang program ini berlangsung.
Program ini menjadi platform bagi para peserta untuk menimba ilmu baharu, melatih keberanian dan keyakinan serta mencungkil potensi diri mereka dalam suasana yang interaktif dan kompetitif.
Malahan, program ini juga dapat mendorong para peserta untuk tampil dengan lebih berani dalam menyuarakan pendapat serta menyampaikan hujah mereka dengan penuh keyakinan dan kefasihan di hadapan khalayak ramai.
Dengan adanya penekanan terhadap aspek kesihatan mental sebagai tema utama dalam program pengucapan awam ini, generasi muda khususnya golongan mahasiswa dan belia dapat memahami tentang pentingnya menjaga aspek kesejahteraan komuniti, membincangkan langkah-langkah terhadap isu kesihatan mental secara mendalam, dan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran kehidupan dengan cara yang lebih positif dan seimbang sejajar sebagai satu keperluan semasa bagi generasi muda pada masa kini.



Secara tidak langsung, pendedahan yang dilaksanakan melalui program ini dapat membawa perubahan yang signifikan dalam sikap masyarakat terhadap isu kesihatan mental dan dapat mengurangkan stigma yang sering dikaitkan dengan isu ini.
Pelaksanaan program ini juga seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sentiasa menekankan pembangunan holistik pelajar, sejajar dengan agenda Pembangunan Mahasiswa Berdaya Saing (PMBS).
Kementerian Pendidikan Tinggi menekankan kepentingan membina mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berketerampilan dalam aspek sahsiah, kepimpinan, kemahiran insaniah dan kesejahteraan mental.
Oleh itu, program seperti ini amat signifikan dalam menyokong usaha KPT melahirkan graduan yang seimbang, berkeyakinan tinggi, serta mampu bersaing di peringkat nasional dan global.
Program The Trophy: The Road To Outstanding Public Speaking For Hopeful Youth telah membuktikan keberkesanannya sebagai wadah pembangunan sahsiah dan minda bagi generasi muda.
Selain daripada memperkukuh kemahiran komunikasi berbahasa Inggeris dan pengucapan awam, program ini juga berjaya menyemai semangat kepimpinan, keyakinan, serta kesedaran yang mendalam terhadap pentingnya aspek kesihatan mental sebagai asas bagi kesejahteraan komuniti bagi golongan mahasiswa dan belia.
Tambahan, dengan adanya kehadiran para juri jemputan istimewa yang terdiri daripada Encik Harith Reazal, seorang pempengaruh media sosial dan pensyarah sambilan, Taanusiya Chetty, pengasas bagi “Be The Change Malaysia” dan Ashlyn Ooi, Miss International Malaysia 2024 bukan sahaja telah menaikkan prestij program ini, malah memberi impak besar terhadap kehadiran penonton yang sangat menggalakkan serta meningkatkan semangat para peserta untuk memberi persembahan terbaik mereka di atas pentas.
Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dan dijadikan model kepada seluruh institusi pendidikan tinggi dalam menjayakan aspirasi KPT ke arah membentuk mahasiswa yang progresif, berdaya saing dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada negara.
