Sesi fotografi peserta SK Slim River bersama fasilitatorSesi fotografi peserta SK Slim River bersama fasilitator

Oleh: Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan, Nordinie Amiera Shamsuddin, Ashwinny Iyappan dan Khirthanan Pannir Selvam

Slim River, Perak, 19 Mei 2025 – Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains ( Matematik ) dengan Pendidikan semester 5 yang mengambil kursus Insan Guru Profesional ( KPG3013 ) telah melaksanakan Program PSM : X-Plore Math yang melibatkan seramai 25 orang fasilitator dan 1 orang pensyarah UPSI pada 19 Mei 2025 bertempat di Sekolah Kebangsaan Slim River, Perak.

Program ini telah menyasarkan seramai 82 orang murid tahun 5 dan bertujuan menarik minat murid dalam subjek Matematik melalui kaedah penyampaian yang fleksibel dan menyeronokkan serta memberi pendedahan, kefahaman dan kemahiran dalam pendidikan STEM kepada warga sekolah rendah.

Selain itu, program ini turut mengembangkan pemahaman murid tentang konsep matematik dalam kehidupan seharian.

Fasilitator membantu murid-murid menyelesaikan tugasan kumpulan
Peserta fokus mendengar penerangan daripada fasilitator
Peserta menunjukkan hasil kerja mereka kepada fasilitator

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti berasaskan pembelajaran secara permainan ( game-based learning ) telah dilaksanakan seperti CypherCodeBoard, Si Kaya Bijak, Multi-Pie, Bowling with a Twist : Fractions, Math Fishing Frenzy!, Risk It & Rich It! dan Money-Poly.

Aktiviti-aktiviti ini direka khas untuk merangsang pemikiran kritis, pemahaman konsep asas Matematik serta meningkatkan kecekapan murid dalam menyelesaikan masalah melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan yang melibatkan topik nombor bulat & operasi : tambah, tolak, darab dan bahagi, topik wang, pecahan serta topik pengurusan data dan jisim.

Pendekatan ini bukan sahaja menyokong keberkesanan pembelajaran malah turut menanamkan nilai-nilai murni seperti kerjasama berpasukan, kepimpinan dan kemahiran berkomunikasi kerana pelaksaan aktivitinya adalah secara LDK ( latihan dalam kumpulan ).

Murid teruja dalam permainan Bowling with a Twist : Fractions
Penyampaian hadiah kepada peserta
Penyampaian hadiah sebagai tanda penghargaan kepada pihak sekolah

Murid-murid ini didedahkan dengan cara pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan tidak terikat dengan kaedah konvensional semata-mata.

Melihat kepada impak positif serta maklum balas yang memberangsangkan daripada pihak guru dan murid SK Slim River, program ini wajar diteruskan dan dijadikan contoh pelaksanaan program Matematik berimpak tinggi pada masa hadapan.