Oleh: Syarifah Sakina Nasran
Tanjong Malim, 16 Mei 2025 – Seminar Pemikiran Awang Had Salleh berjaya dianjurkan oleh Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh, UPSI pada 16 Mei 2025 yang lalu. Seminar ini bertujuan mengupas dan mendalami pemikiran Awang Had Salleh (AHS) yang dianggap sebagai Pelopor Pengurusan Ilmu.
Di samping itu, seminar yang julung kali diadakan ini menjadi tunjang dalam pembangunan nilai budi dan ilmu pendidikan bangsa.
Melalui pendekatan falsafah AHS, peserta didedahkan dengan cara membina identiti dan budaya serta kecemerlangan generasi muda yang berteraskan budi pekerti dan pengetahuan.
Seminar ini juga membuka ruang diskusi tentang relevansi pemikiran AHS dalam menghadapi cabaran pendidikan pada zaman IT.
Penganjur mempelawa beberapa pembentang yang hebat bukan sahaja dalam kalangan pensyarah UPSI malah turut menjemput pensyarah dari luar UPSI. Ia dimulai dengan ucap utama yang disampaikan oleh Profesor Dr. Abdul Halim Ali dari FBK-UPSI berjudul “Awang Had Salleh Tokoh Pelopor Pengurusan Ilmu”. Melalui ucap utamanya, Abdul Halim menyoroti secara deskriptif sumbangan penting AHS dalam empat bidang utama, iaitu pendidikan, pentadbiran, kesusasteraan dan pengurusan.


Sepuluh buah kertas kerja dibentangkan dalam seminar oleh para academia iaitu Dr. Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan, Profesor Dr. Azhar Wahid, Dr. Hasrina Baharum, Dr. Mohd Amir Mohd Zahari, Dr. Robe’ah Yusuf, Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin dan Prof. Madya Dr. Ghazali Din, kesemuanya dari UPSI. Turut menjadi pembentang atau pemakalah ialah Dr. Tuan Rusmawati Raja Hassan (UMK), Prof. Madya Dr. Syarul Azlina Sikandar (UiTM), Dr. Rahimah Hamdan (UPM) dan Prof. Madya Dr. Rohaya Md. Ali (UUM). Manakala pengetua KAHS, Dr. Mardiana Ismail (FMSP) menjadi moderator bersama-sama dengan Dr. Siti Fariza Mohamad Isa (FBK).
Nama AHS diangkat sebagai salah satu nama kolej di UPSI kerana beliau merupakan tokoh besar dalam bidang pendidikan, intelektual Melayu dan pembangunan modal insan di Malaysia.
Pengiktirafan ini bukan sahaja menghargai sumbangan beliau, tetapi juga bertujuan mengabadikan warisan pemikirannya dalam kalangan generasi pelajar masa kini.
Dengan adanya seminar ini, pelajar khususnya penghuni Kolej Awang Had Salleh boleh mengenali beliau secara mendalam.
Dalam bidang pendidikan, AHS berperanan sebagai pendidik di sekolah, pensyarah di institusi pengajian tinggi serta pentadbir dan perancang dasar pendidikan negara.
Beliau turut memperkenalkan bidang Pemikiran Strategik sebagai satu cabang ilmu di Universiti Utara Malaysia. Dalam bidang kesusasteraan Melayu, AHS aktif berkarya, khususnya dalam genre puisi moden dan cerpen, meskipun beliau sibuk dengan tanggungjawab pentadbiran dan akademik.


Ketekunan beliau dalam pelbagai bidang membuktikan keunggulannya sebagai pelopor pengurusan ilmu di Malaysia.
Secara keseluruhannya, seminar ini berjaya menyoroti pelbagai dimensi pemikiran dan sumbangan AHS melalui pembentangan oleh para akademia yang berwibawa.
Perbincangan yang merentas pelbagai bidang iaitu pendidikan, pentadbiran, kesusasteraan dan pengurusan telah menyerlahkan ketokohan beliau sebagai pelopor pengurusan ilmu yang berjiwa bangsa.
Setiap pembentangan telah memperkaya pemahaman peserta terhadap warisan intelektual beliau yang sarat dengan nilai budi, pemikiran strategik dan semangat perjuangan dalam arena pendidikan.
Seminar ini bukan sahaja memperkukuh apresiasi terhadap sumbangan beliau, malah turut membuka ruang refleksi dan wacana kritis dalam kalangan peserta tentang peranan ilmu dan nilai dalam pembangunan insan dan negara.
Diharapkan menerusi seminar ini dapat menyerlahkan lagi para cendekiawanan negara, memupuk penghargaan terhadap tokoh-tokoh tempatan, serta menjadi dorongan untuk meneruskan legasi pemikiran Awang Had Salleh dalam konteks pendidikan masa kini dan masa hadapan.
