Oleh: Nurul Shakirah Mohd Sali
Tanjong Malim, 24 Mei – Telah berlangsungnya program Daie Cilik di bawah anjuran Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrasid (KHAR) sidang 2024/2025 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui kerjasama beberapa pihak iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Negeri Perak dan Kelab Sahabat Ulul Albab, UPSI yang bertempat di Dewan Jauhar NCDRC pada Sabtu lalu.
Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran komunikasi yang berkesan dalam kalangan cilik muda yang mengetengahkan elemen Keislaman dan kerohanian.
Selain itu, program ini juga memberi penekanan kepada pemahaman peserta terhadap kurikulum Pendidikan Islam melalui pengucapan awam dalam Bahasa Melayu berdasarkan kejelasan dan kelancaran penyampaian peserta.



Program Daie Cilik ini merupakan program julung kalinya diadakan di peringkat kebangsaan yang telah berjaya menarik penyertaan murid sekolah rendah dari seluruh Malaysia serta mahasiswa/i UPSI juga yang turut hadir bagi memeriahkan program Daie Cilik ini.
Program ini juga terdiri daripada dua peringkat iaitu peringkat saringan dan peringkat akhir. Seramai 51 orang peserta telah menyertai sesi awal dalam peringkat saringan yang dijalankan secara dalam talian yang melibatkan penyertaan seluruh Malaysia termasuk peserta dari Borneo.
Peringkat ini melibatkan semua peserta yang mendaftar awal bagi merebut peluang ke peringkat akhir secara bersemuka. Sepanjang sesi, para peserta telah diuji melalui sesi tazkirah berdasarkan tema “Adab dan Akhlak” dalam bidang Sirah Nabawi. Penilaian telah dilakukan secara menyeluruh oleh panel juri.



Melalui proses saringan ini, seramai 20 peserta terbaik yang terdiri daripada 10 peserta lelaki dan 10 peserta perempuan telah dipilih ke peringkat akhir.
Saringan ini bukan sahaja berfungsi sebagai tapisan kepada bakat yang berpotensi, malah menjadi wadah latihan kepada peserta dalam mengasah keberanian, kemahiran komunikasi, serta kebolehan menyampaikan mesej dakwah secara profesional.
Dalam pada itu, para peserta juga telah dinilai oleh juri profesional berdasarkan kemahiran komunikasi, bahasa dan kesesuaian isi yang dipersembahkan.



Pendekatan ini bukan sahaja membantu cilik muda mengingat dan memahami ilmu agama dengan lebih mendalam, tetapi juga dapat mengasah keyakinan diri mereka berkomunikasi di hadapan khalayak ramai.
Pada 24 Mei 2025 (Sabtu), telah berlangsung peringkat akhir Program Daie Cilik. Pengisian program telah bermula dengan kehadiran para peserta, ibu bapa, juri serta mahasiswa-mahasiswi UPSI yang disambut oleh ahli jawatankuasa pelaksana program di Dewan Jauhar NCDRC UPSI.
Program ini diteruskan dengan sesi pertama yang melibatkan penyertaan 10 orang peserta untuk menyampaikan tazkirah mereka di hadapan para hadirin dan barisan juri.



Setiap peserta telah menyampaikan isi tazkirah yang berlandaskan tema yang diberi serta dikupas mengikut kefahaman dan gaya penyampaian masing-masing.
Seterusnya, sesi kedua berlangsung dengan menampilkan lagi 10 orang peserta yang tidak kurang hebatnya dalam menyampaikan mesej dakwah mereka dengan penuh keyakinan dan penghayatan. Kedua-dua sesi ini berlangsung dalam suasana yang penuh ceria dan bersemangat.
Program ini dirasmikan dengan gemilang oleh Encik Ramdani bin Abd Karim, Pengarah Pejabat Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Negeri Perak.


Melalui ucapan perasmian, beliau melahirkan rasa kagum dengan kebolehan peserta yang sangat berbakat dalam pengucapan awam serta mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir dalam menyokong semangat anak-anak dalam menjayakan program ini.
Encik Ramdani juga turut berkongsi pengalamannya sebagai juara pidato negeri Selangor ketika berumur 12 tahun dan berharap para peserta terus menonjolkan bakat tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.
Di samping itu, beliau turut menyatakan kesediaan pihak YADIM untuk bekerjasama dalam bidang sosial, kebajikan dan pendidikan .
Akhir sekali, beliau berharap program ini dapat memperkukuh jaringan intelektual antara pelajar dan institusi pendidikan dalam usaha membina agama, bangsa dan negara.
Beliau menutup ucapannya dengan ucapan tahniah dan syabas kepada semua peserta sekaligus merasmikan Program Daie Cilik “Membina Generasi, Menyemai Dakwah”.
Felo Blok Kediaman 3 Kolej Harun Aminurrashid, Puan Norrulkamari Daud mewakili pengetua Kolej Harun Aminurrashid telah merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pengarah Pejabat Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Negeri Perak selaku rakan strategik atas kerjasama dan sumbangan kewangan yang diberikan dalam menjayakan program hebat ini.


Beliau juga menyatakan bahawa program ini adalah platform yang sesuai dan relevan dalam mengetengahkan bakat anak-anak serta meningkatkan keyakinan untuk bercakap di hadapan khalayak ramai dengan sokongan yang amat baik daripada semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru yang hadir.
Sebagai pengarah program pula, Firzuan amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan program ini dengan adanya kerjasama yang baik daripada semua pihak.
Pada masa yang sama, Firzuan berharap agar program ini dapat melatih keberanian kanak-kanak dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat selain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada dif-dif jemputan yang sudi hadir ke majlis penutup Daie Cilik terutama pihak YADIM dan KPM.
Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada barisan penaja, rakan kolaborasi serta juri jemputan atas sokongan padu dalam menjayakan program ini.
Pengarah program juga menyatakan penghargaan kepada semua peserta atas penyertaan, komitmen dan semangat yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung. Ucapan tahniah kepada semua peserta dan berharap pertandingan ini dapat mencetus minat terhadap isu semasa serta menggalakkan budaya ilmu dalam kalangan murid.
Acara kemuncak adalah penyampaian hadiah kepada para pemenang Program Daie Cilik, yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam menyampaikan tazkirah masing-masing.
Para peserta yang berjaya dinobatkan sebagai johan, naib johan dan tempat ketiga bagi kategori lelaki dan perempuan telah menerima trofi, wang tunai dan sijil pencapaian sebagai tanda pengiktirafan atas usaha dan pencapaian mereka.
Selain itu, peserta yang lain turut diberikan sijil penyertaan dan cenderahati sebagai galakan dan penghargaan atas keberanian serta komitmen mereka dalam menyertai program ini.
Program Daie Cilik ini berakhir dengan sesi fotografi sebagai tanda kenang-kenangan bersama semua dif-dif yang hadir, rakan strategik, para juri, ibu bapa, peserta, mahasiswa/i UPSI dan ahli jawatankuasa pelaksana program.
Senyuman terukir di wajah setiap peserta melambangkan kepuasan dan semangat yang mereka peroleh sepanjang program ini berlangsung.
Keseluruhannya, program ini telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelbagai pihak, termasuk ibu bapa yang menyokong inisiatif ini dalam melahirkan anak-anak yang berani dan berdaya saing.
Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai generasi pendakwah muda yang berilmu dan mampu membawa mesej Islam secara profesional dan berkesan.
Semoga ia menjadi platform tahunan yang terus melahirkan generasi muda berwibawa dalam menyampaikan dakwah dan menyemai nilai murni dalam masyarakat serta pengalaman yang diperoleh oleh para peserta akan dapat membantu mereka untuk terus digilap ke peringkat yang lebih tinggi.
