Tanjong Malim, 30 April 2025 – Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Kursus Pemantapan Etiket dan Protokol yang berlangsung di Bilik Kuliah 4, Bangunan e- Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Program ini bertujuan mempertingkatkan pemahaman serta kemahiran mahasiswa dalam aspek protokol rasmi dan etiket sosial yang merupakan aspek penting dalam pengendalian majlis dan interaksi profesional di dalam dan luar kampus.

Seramai 14 orang peserta menyertai kursus sehari ini, yang merangkumi dua slot utama, iaitu Pengurusan Majlis dan Pengacaraan Majlis. Kedua-dua sesi telah disampaikan oleh Puan Marini Masdar, Timbalan Pendaftar Unit Khidmat Korporat, UPSI.

Antara pengisian kursus termasuklah panduan pengurusan susun atur majlis, tatacara menyambut tetamu, etika berpakaian, penggunaan bahasa rasmi, serta teknik komunikasi berkesan dalam majlis rasmi dan tidak rasmi. Peserta turut diberi peluang bertanya soalan dalam sesi interaktif yang diadakan selepas setiap slot.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh Nur Adila Mohamad Munshi, wakil Majlis Perwakilan Pelajar, UPSI. Acara diakhiri dengan penyampaian plak penghargaan kepada penceramah dan sesi fotografi.

Secara keseluruhan, kursus ini mendapat maklum balas positif daripada peserta. Program ini bukan sahaja memberi pendedahan berguna dalam aspek pengurusan acara, malah turut membina keyakinan dan profesionalisme dalam diri mahasiswa. Pihak penganjur berharap agar penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh budaya beretika dalam kalangan warga UPSI.