Oleh: Boniface, Nordinie Amiera Shamsuddin, Nur Shahirah Salleh, Rabiatul Kum Akmah Roni, Puteri Amalin Mohd Zaki, Esther Tang Ai Lian dan Nurul Izzati Junaidin
Tanjong Malim, 25 Mei 2025– Faculty Inter Sports Competition, FISCO 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Mei lalu telah berjaya menarik penyertaan daripada pelajar-pelajar dari pelbagai program pengajian dan semester.
Penganjuran FISCO 2025 ini telah mendapat sambutan yang positif daripada kalangan kakitangan dan pelajar Fakulti Sains dan Matematik (FSM) yang menunjukkan semangat kesukanan yang berkobar-kobar. Selain itu, terdapat lima jenis sukan yang dipertandingkan iaitu futsal, bola jaring, bola tampar, frisbee dan tarik tali. Masing-masing menjadi medan persaingan sengit antara wakil-wakil program pengajian FSM yang bertanding. Pertandingan ini bukan sahaja mencerminkan daya juang yang tinggi malah menghidupkan suasana penuh kerjasama dan kesukanan.
Acara futsal menyaksikan aksi pantas serta kemahiran tinggi para peserta yang berusaha merebut kemenangan. Pasukan dari Program Diploma berjaya menunjukkan prestasi unggul dengan gaya permainan yang tersusun rapi dan semangat kerjasama berpasukan yang mantap bagai aur dengan tebing diikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan kepujian di tempat yang kedua dan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Matematik) dengan Pendidikan di tempat yang ketiga.
Pertandingan bola jaring dan bola tampar pula menonjolkan teknik dan ketangkasan pemain. Perlawanan bola jaring yang diadakan di gelanggang terbuka menarik perhatian ramai penonton yang hadir memberi sokongan padu. Pasukan dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains) dengan Kepujian berjaya menjuarai acara bola jaring dengan menunjukkan permainan yang penuh disiplin dan kerjasama mantap sekali gus membuktikan bahawa “ di mana ada kemahuan, di situ ada jalan ”.
Selain itu, bola tampar penuh dengan semangat juang tinggi dengan beberapa set yang penuh dramatik mencerminkan kemahiran teknikal yang hebat. Juara bagi acara bola tampar wanita dan lelaki masing-masing diraih oleh pasukan dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian yang menunjukkan perpaduan dan kerjasama erat bagai pinang dibelah dua.


Acara frisbee menjadi tumpuan dengan mempamerkan kelincahan dan ketepatan para peserta yang semakin mahir dalam sukan yang kian popular ini. Pasukan wanita dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Fizik) dengan Kepujian dan pasukan lelaki dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian telah dinobatkan sebagai juara dengan menonjolkan semangat juang yang tinggi dan teknik permainan yang teratur dalam perlawanan.


Bagi acara tarik tali pula yang menggambarkan kekuatan fizikal serta semangat berpasukan yang membara disemarakkan dengan sorakan hangat daripada para penyokong yang hadir membakar semangat para peserta. Juara bagi acara tarik tali wanita dan lelaki adalah pasukan dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Biologi) dengan Kepujian yang membuktikan bahawa dengan kerjasama dan kekuatan bersama, tiada apa yang mustahil.
Penganjuran sukan ini bukan sahaja menarik minat pelajar bahkan mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak termasuk staf, pensyarah FSM yang turut hadir sebagai pemerhati dan penyokong. Kehadiran mereka umpama menambah seri kepada acara, memberikan dorongan moral kepada peserta dan menunjukkan komitmen fakulti dalam mempromosikan gaya hidup sihat.
Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee, Dekan FSM menegaskan bahawa program ini perlu dijadikan sebagai program tahunan Fakulti Sains dan Matematik agar sinergi antara pelajar dan pensyarah dapat dieratkan. Beliau berharap agar program seperti ini dapat dijalankan secara berterusan bagi membuka ruang kepada pelajar mengembangkan bakat dan memperkukuh silaturahim. Tambahan pula, aktiviti fizikal yang konsisten dapat membantu meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal pelajar.
Menurut Pengarah Program Boniface Garin Anak Joannes dalam ucapan aluan Majlis Perasmian Penutup FISCO, “FISCO 2025 ini bukanlah mencari siapa menang dan kalah tetapi untuk membina jalinan ukhwah sesama pelajar sendiri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang akademik.”
Majlis penutupan diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada pasukan yang berjaya bagi setiap acara. Pasukan dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian diumumkan sebagai juara keseluruhan dengan pungutan mata tertinggi manakala pasukan dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Biologi) dengan Kepujian diumumkan sebagai Ultras Terbaik.
Program Sukan Fakulti Sains dan Matematik, FISCO FSM 2025 telah berjaya mencapai objektifnya. Dengan sambutan hangat dan penglibatan aktif daripada pelbagai program pengajian, program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama pelajar malah menyuntik semangat kompetitif yang sihat dalam suasana pembelajaran.
