Oleh: Putri Erra Elyana Sharizall
TANJUNG MALIM, 25 Mei 2025 – Kampus Sultan Abdul Jalil Shah menjadi saksi kepada kemeriahan dan kehangatan GEOHUNT: Kembara Alam Geografi, sebuah program anjuran Persatuan Geografi (PERGEO) dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) yang berlangsung pada 25 Mei 2025.
Program ini diadakan sebagai sebahagian daripada siri aktiviti GEOENVIRO 2024/2025, bersempena Bulan Geografi peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris yang melibatkan 16 orang Ahli Jawatankuasa.
Menampilkan gabungan pembelajaran dan permainan, program GeoHunt mengetengahkan pendekatan pembelajaran tidak formal yang menguji pengetahuan peserta dalam bidang geografi sambil mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerjasama dan penyelesaian masalah.



Lima kumpulan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris bersaing dalam melengkapi cabaran di enam stesen yang berlainan aktiviti untuk menguji kefahaman mereka terhadap konsep-konsep geografi secara praktikal.
Aktiviti-aktiviti seperti pencarian lokasi, stesen kuiz berkonsepkan geografi, serta cabaran berpasukan yang memerlukan ketangkasan berfikir dan strategi telah mencetuskan suasana penuh keterujaan bagi mereka. Peserta bukan sahaja bersaing secara sihat, malah saling membantu dan menyokong antara satu sama lain menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan.
Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa Semester 4 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi (Batch Geolaxy), dengan Alya Mashita Nureddin sebagai Pengarah Program, dibantu oleh Azril Ikhfan Zaidi sebagai Timbalan Pengarah.
Menurut pihak penganjur, objektif utama program GeoHunt bukan sahaja untuk memperkukuh penguasaan ilmu geografi dalam kalangan pelajar, malah untuk menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan berkesan melalui aktiviti berasaskan pengalaman (experiential learning).
Maklum balas peserta juga menunjukkan bahawa program seperti ini dapat memecahkan kebekuan rutin akademik yang lazim, di samping menambah baik kemahiran sosial dan bekerjasama dalam kalangan mahasiswa.


Harapan besar diletakkan agar program GeoHunt terus menjadi acara tahunan yang dapat dikembangkan lagi, bukan sahaja dengan melibatkan lebih ramai peserta tetapi juga dengan memperkayakan kandungan dan reka bentuk aktiviti yang lebih mencabar serta interaktif.
Pendekatan sebegini dilihat mampu memperkukuh pengetahuan pelajar geografi dan memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang kepentingan untuk kaedah pembelajaran inovatif dalam profesion pendidikan mereka kelak.
Dengan berakhirnya GeoHunt: Kembara Alam Geografi, satu langkah baharu telah diambil ke arah menjadikan pembelajaran geografi bukan sekadar satu penghafalan teori, sebaliknya satu pengalaman pembelajaran experential yang mengintegrasikan teori dengan aplikasi diluar pembelajaran konvensional.

