Oleh: Profesor Madya Dr. Ali Md Nadzalan

Tanjong Malim, 27 Mei 2025 – Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima lawatan rasmi daripada delegasi Universitas Syiah Kuala, Banda Aceh.

Lawatan ini diketuai oleh Dekan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Dr. Syamsulrizal, bersama beberapa wakil dari Pejabat Kabupaten Aceh Besar, Pejabat Pendidikan Daerah Aceh Besar, serta pejabat Hubungan Kerjasama Universitas Syiah Kuala.

Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan kerjasama akademik, khususnya dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan, selain meneroka peluang kolaborasi dalam penyelidikan dan penerbitan berindeks serta program pembangunan profesional guru di Aceh Besar.

Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat dan perbincangan rasmi antara kedua-dua institusi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat FSSK. Antara pengisian utama adalah:

  • Perkongsian Kepakaran Penyelidikan dan Penerbitan:
    UPSI, melalui FSSK, berkongsi strategi dan amalan terbaik dalam penghasilan penyelidikan dan penerbitan jurnal berindeks dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan. Delegasi dari Universitas Syiah Kuala menyatakan hasrat untuk menjadikan UPSI sebagai rakan strategik dalam memantapkan kapasiti penyelidik mereka, khususnya dalam menghasilkan artikel untuk jurnal Scopus dan WOS.
  • Perbincangan Projek Pembangunan Guru Aceh Besar:
    FSSK telah dijemput untuk terlibat dalam projek memperkasa guru-guru di daerah Aceh Besar dalam bidang kejurulatihan sukan. Kerjasama ini merangkumi pelaksanaan bengkel, kursus jangka pendek, serta penyediaan modul latihan yang berteraskan kepada pedagogi sukan dan latihan kejurulatihan berasaskan bukti.
  • Lawatan ke Kemudahan FSSK:
    Delegasi turut dibawa melawat ke beberapa fasiliti FSSK termasuk makmal prestasi sukan, makmal biomekanik, gimnasium, dan padang sukan bagi memahami kapasiti FSSK dalam menyokong pelaksanaan pengajaran, penyelidikan dan pembangunan profesional dalam bidang sains sukan.