Oleh: Muhammad Syafiq Razali
Tanjong Malim, 25 Mei 2025 – Komitmen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program interaktif yang berinovasi dan berpaksikan komuniti.
Terbaharu, sekumpulan mahasiswa dari Persatuan Geografi (PERGEO), Jabatan Geografi dan Alam Sekitar (JGAS), Fakulti Sains Kemanusiaan, menjadi Rakan Kolaborasi Lensa Inisiatif Keguruan (KLIK) telah menjayakan program “Jungle Pop-Up Explorers: Kembara Si Cilik Alam Liar” yang menyasarkan 20 orang murid prasekolah.
Program ini berfokus kepada pendekatan pembelajaran awal kanak-kanak yang menyeronokkan dan bersifat eksploratif, menggunakan inovasi buku pop-up bertemakan alam liar.
Antara aktiviti utama termasuk penceritaan interaktif melalui buku pop-up, permainan padanan haiwan, penggunaan kad imbas haiwan 4D yang dihidupkan melalui aplikasi mudah alih, pengalaman realiti maya (VR) serta aktiviti kreatif membina mini buku pop-up oleh murid sendiri.


Pelaksanaan program ini selari dengan aspirasi Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), UPSI yang menekankan pentingnya amalan pembelajaran yang berasaskan penyelidikan, menyeluruh dan sesuai dengan perkembangan usia kanakkanak. Kaedah pembelajaran melalui bermain yang digunakan dalam program ini turut menyokong objektif Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan mengangkat nilai pendidikan inklusif.
Menurut wakil pelaksana program, pendekatan ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan projek “Jungle AR: PopUp Wonders” yang telah memenangi Pingat Emas dalam pertandingan Edu@Innovate 2025.
Inovasi tersebut kini diperkembangkan dalam bentuk pengalaman langsung untuk kanak-kanak, dengan sentuhan interaktif dan visual yang lebih sesuai untuk peringkat usia prasekolah.
Guru-guru prasekolah yang hadir menyatakan rasa kagum dan menyokong penuh pendekatan ini, kerana ia membantu murid belajar dalam suasana yang menyeronokkan dan bermakna.
Pendekatan berbentuk pengalaman langsung dan sentuhan nyata dilihat dapat meningkatkan minat dan tumpuan murid terhadap pembelajaran konsep asas.
“Murid bukan sahaja melihat dan mendengar, tetapi turut menyentuh, mencuba dan menghasilkan sendiri. Itu yang menjadikan pembelajaran ini begitu berkesan,” ujar salah seorang guru.


Sebagai tanda penghargaan dan galakan, Ketua Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Profesor Madya Dr. Hanifah Mahat telah hadir bagi menyampaikan saguhati kepada semua murid sekali gus menzahirkan sokongan kepada usaha mahasiswa dalam memasyarakatkan inovasi pendidikan UPSI.
Program ini bukan sekadar memberi pengalaman kepada kanak-kanak, tetapi turut memperkukuh latihan profesional mahasiswa dalam bidang keguruan awal kanak-kanak.
Melalui kolaborasi strategik bersama KLIK dan penyelarasan dengan aspirasi NCDRC, UPSI terus membuktikan keupayaannya sebagai peneraju pendidikan yang bukan sahaja unggul dari segi akademik, tetapi juga aktif dalam memindahkan ilmu kepada komuniti melalui pendekatan yang kreatif, reflektif dan responsif.
