Oleh: Dr. Mohammad Azri Amatan & Prof. Madya Dr. Hanifah Mahat

Tanjong Malim, 17 Julai 2025 – Bagi memperkukuh jaringan akademik serantau dan memperluas kerjasama penyelidikan rentas negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Jabatan Geografi dan Alam Sekitar (JGAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) telah menerima kunjungan rasmi Delegasi Jabatan Geografi, Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia.

Program Lawatan Penyelidikan ini diadakan sempena kelulusan kutipan data penyelidikan di Malaysia di bawah projek geran bertajuk “Meaningful Learning Strategy: Integration of Team Games Tournament (TGT) Based on Start With A Question (SWAQ) in Geography Learning.” Projek ini merupakan inisiatif kolaborasi akademik antarabangsa antara UNP dan UPSI, dengan Dr. Mohammad Azri Amatan yang bertindak sebagai wakil serta ahli pasukan penyelidik dari Malaysia.

Sesi Taklimat oleh Prof. Madya Dr. Hanifah Mahat,
Sesi perbincangan kolaborasi akademik oleh Prof. Madya Dr. Kamarul

Program dimulakan dengan sesi sambutan rasmi dihadiri oleh barisan Pensyarah JGAS di Lobi Fakulti, diikuti dengan taklimat oleh Prof. Madya Dr. Hanifah Mahat, Ketua Jabatan JGAS. Sesi seterusnya diteruskan dengan sesi perkongsian penyelidikan oleh UPSI serta perbincangan kolaborasi akademik, yang dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail, Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan), FSK, UPSI.

Lawatan ini membuka ruang kerjasama dalam bidang penyelidikan pendidikan Geografi, perkongsian ilmu, pembangunan kaedah pedagogi inovatif, serta pengukuhan PdP Geografi di peringkat serantau.

Delegasi UNP diketuai Prof. Dr. Syafri Anwar bergambar bersama empat ahli penyelidik UNP dan juga Pensyarah JGAS

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan santai, menandakan kelangsungan kolaborasi yang positif dalam membina hubungan strategik dan pelaksanaan penyelidikan bersama yang lebih erat antara UNP dan UPSI pada masa hadapan.