Oleh: Nur Afiqah Kamaruzaman
TANJONG MALIM– Seramai 80 peserta terdiri daripada warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan komuniti sekitar Daerah Muallim menyertai Program Sentuhan Kasih Ibu yang berlangsung di Bilik Seminar Aminuddin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah pada 13 Ogos 2025.
Program berkonsepkan Antenatal Class itu dianjurkan hasil kerjasama Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Pejabat Kesihatan Daerah Muallim (PKD), dengan sokongan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak (NCDRC), Persatuan Wanita UPSI (PEWARIS), Pusat Kaunseling UPSI serta Kelab Penyusuan Susu Ibu Daerah Muallim.


Program berkenaan bertujuan memperkasakan pengetahuan mengenai kesihatan ibu dan amalan penyusuan susu ibu melalui pendekatan interaktif serta praktikal. Antara pengisian utama yang diketengahkan termasuk sesi perkongsian kesihatan ibu dan anak, demonstrasi teknik penyusuan susu ibu, senaman ibu hamil, perbincangan mengenai kebimbangan dan harapan dalam penyusuan, amalan pemakanan sihat ibu hamil serta pengenalan Kelab Penyusuan Susu Ibu Daerah Muallim.

Menurut wakil penganjur, Nor Amalina Alias, program ini penting dalam mewujudkan sistem sokongan mampan bagi ibu hamil khususnya dalam aspek penyusuan susu ibu.
“Susu ibu adalah anugerah terbaik yang boleh diberikan kepada bayi. Dengan pendedahan awal seperti ini, kita mampu melahirkan generasi sihat dan kuat sejak awal kehidupan,” katanya.

Program tersebut turut selaras dengan tema #UtamakanPenyusuanSusuIbu: Wujudkan Sistem Sokongan Yang Mampan, seiring misi universiti menyemai nilai kesejahteraan dan kesedaran kesihatan dalam komuniti.
