TANJONG MALIM, 20 Nov 2025 – Seramai 50 belia dari daerah Muallim menyertai Kursus Pembuatan Makanan Ternakan Ayam Penelur secara DIY yang berlangsung di Pusat Latihan Kemahiran Pertanian (PLKP), Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kursus ini dianjurkan bagi memperkasa komuniti belia dalam sektor pertanian selain meningkatkan kemahiran penternakan secara praktikal.
Program berkenaan dikendalikan oleh Ketua Jabatan Sains Pertanian, FTV, Ts. Dr. Fazhana Ismail selaku penceramah utama. Menurut beliau, kursus tersebut memberi pendedahan asas kepada peserta yang berhasrat memulakan penternakan ayam penelur berskala kecil atau sederhana, dengan menekankan konsep penjimatan kos melalui pembuatan makanan ternakan sendiri.
“Kursus ini memberikan pengetahuan asas kepada golongan belia untuk menghasilkan makanan ternakan menggunakan sisa dapur, sisa pertanian serta kaedah pemeliharaan larva Lalat Askar Hitam (BSF). Peserta turut diberi peluang mengendalikan mesin pengisar, mesin pellet serta mengikuti demonstrasi penggredan telur,” jelasnya.


Salah seorang peserta, Abdul Rahim Muda, menyifatkan program itu sebagai platform penting dalam membina jaringan komuniti penternak ayam penelur di Muallim.
“Kursus ini memberikan ilmu yang sangat berharga. Melalui perkongsian pengalaman, kami yakin kerjasama antara peserta dapat mengukuhkan jaringan pengusaha penternakan ayam penelur di daerah ini. Usaha ini turut membantu meningkatkan aktiviti pertanian sambil menjana pendapatan,” katanya.




Program ini merupakan siri kedua daripada tiga siri kursus di bawah inisiatif Komuniti @UniMADANI, yang turut menerima sokongan kewangan daripada Kementerian Kewangan. Inisiatif berkenaan dirangka untuk memperkukuh penglibatan masyarakat setempat dalam sektor pertanian melalui latihan kemahiran dan sokongan teknikal.
Melalui penganjuran kursus ini, peserta diharapkan dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam projek penternakan masing-masing, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import.
Usaha ini bukan sahaja berpotensi menurunkan kos penternakan malah menyumbang kepada peningkatan keterjaminan makanan negara selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0.
