Oleh: Anwar Nabon
Kuala Kubu Bharu, 14 November 2025 –Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melalui Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) dengan kerjasama Persatuan Sains Pertanian UPSI (PERSSAP), telah berjaya menganjurkan program Kami Sahabat Sungai 2.0: Wira Kecil Penjaga Sungai.
Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran awal mengenai pemeliharaan sungai dalam kalangan murid sekolah rendah. Seramai 320 murid dari Sekolah Kebangsaan Ampang Pecah (SKAP) terlibat dalam program ini, yang turut mendapat sokongan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melalui Geran Khas Komuniti Mampan 4.0 (G-KoM 4.0), dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, Impian Kreatif Resources dan Jabatan Perikanan Negeri Selangor.
Program ini turut dinaungi oleh Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain, yang memainkan peranan penting dalam penyelarasan pelaksanaan serta memastikan setiap aktiviti selaras dengan objektif pendidikan komuniti dan agenda kelestarian UPSI. Beliau menekankan bahawa program sebegini bukan sahaja memberi manfaat jangka pendek melalui aktiviti lapangan, malah menyemai nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar yang berkekalan dalam diri murid.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk pelepasan 2,500 benih ikan puyu ke Sungai Alor Lempah bagi memulihara biodiversiti setempat, diikuti gotong-royong pembersihan sungai yang berjaya mengutip lebih 30 kilogram sisa pepejal. Murid juga mengikuti sesi pendidikan dan ceramah kesedaran alam sekitar, memberi pendedahan tentang isu pencemaran, kepentingan ekosistem sungai, dan tanggungjawab individu terhadap kelestarian alam.
Menurut Anwar Nabon, wakil mahasiswa UPSI dan Pengarah Program Bersama merangkap Exco Akademik Sains Pertanian PERSSAP Sidang 2024/2025, program ini amat bermakna kerana menggabungkan pembelajaran teori dengan pengalaman sebenar di lapangan. “Apabila murid melepaskan ikan dan terlibat dalam pembersihan persekitaran, mereka bukan sekadar belajar, tetapi benar-benar memahami. Program ini membentuk identiti mereka sebagai wira kecil penjaga sungai,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa penglibatan PERSSAP membuktikan kemampuan mahasiswa UPSI melaksanakan projek komuniti berskala besar dengan profesionalisme dan semangat kepimpinan. Sokongan penaung program, Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain, menjadi faktor utama yang memastikan kelancaran dan keberkesanan program.


Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), menekankan akses air bersih, tindakan terhadap perubahan iklim, dan pemeliharaan biodiversiti. UPSI juga merancang membangunkan modul pendidikan sungai untuk digunakan oleh sekolah-sekolah lain, memperluas impak program pada masa hadapan.
Kejayaan program mendorong UPSI dan rakan strategiknya untuk memperluaskan inisiatif ini ke lebih banyak sekolah di Hulu Selangor. Anwar percaya kesinambungan program sebegini penting dalam membentuk generasi muda yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Wira kecil yang dibimbing hari ini ialah peneraju masa depan dalam menjaga khazanah alam. Menjaga sungai bermakna menjaga kehidupan,” katanya.
