Sesi Bergambar Peserta dan Fasilitator
Oleh: Dr. Siti Nursaila Alias, Dr. Anis Nazihah Mat Daud dan Puteri Nurshafita Mohd Shafie
Trolak, 16 Ogos 2025 – Seramai empat orang pensyarah dan lima orang pelajar pascasiswazah Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah bekerjasama dengan guru-guru MRSM Felda Trolak bagi menjayakan Program Junior Innovator: Pemikiran Reka Bentuk Berbantukan Arduino. Seramai 30 orang murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 yang menganggotai Kelab Robotik MRSM Felda Trolak telah menyertai program ini yang dilaksanakan pada 15 dan 16 Ogos 2025.
Program ini merupakan hasil Geran Program Pemindahan Ilmu (KTP) UPSI yang bertujuan untuk memperkenalkan konsep Pemikiran Reka Bentuk sebagai pendekatan penyelesaian masalah yang kreatif dan berpusatkan pengguna. Program ini juga mengintegrasikan penggunaan Arduino sebagai platform elektronik terbuka dalam proses mereka bentuk projek inovasi bagi menyelesaikan masalah sebenar komuniti.

Pada hari pertama, para peserta didedahkan dengan asas pengaturcaraan Arduino berbantukan Artificial Intelligence (AI) termasuk penjanaan kod menggunakan ChatGPT. Mereka berpeluang mengendalikan pelbagai komponen seperti LED, motor dan sensor dengan bimbingan fasilitator.
Sesi seterusnya pula memberi tumpuan kepada pengaplikasian konsep Pemikiran Reka Bentuk yang terdiri daripada lima fasa utama iaitu Penerokaan (Discovery), Interpretasi (Interpretation), Penjanaan Idea (Ideation), Eksperimentasi (Experimentation) dan Evolusi (Evolution) dalam menyelesaikan masalah komuniti. Aktiviti yang dijalankan melibatkan kerja berkumpulan bagi membina peta empati, menjana idea, menghasilkan prototaip dan menguji produk.

Sebagai kemuncak, para peserta membentangkan idea projek inovasi yang berfokus kepada penyelesaian masalah komuniti setempat. Melalui pembudayaan inovasi ini, para peserta bukan sahaja berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dalam dunia sebenar, malah memupuk kemahiran berfikir kritis, kreatif dan kolaboratif selaras dengan kehendak Revolusi Industri 5.0.
Menurut Pengarah Program. Dr Anis Diyana, program ini telah mengukuhkan minat pelajar terhadap bidang STEM. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan bilangan pelajar cemerlang yang memilih bidang sains sebagai laluan utama pendidikan mereka.
“Sepanjang program selama 2 hari, peserta menunjukkan minat yang mendalam untuk berinovasi dan mempelajari Arduino. Mereka sentiasa terlibat secara aktif dan memberikan kerjasama yang mantap sepanjang program berlangsung”, katanya.
“Selain itu, guru-guru yang hadir turut menyifatkan program sebegini amat membantu pihak sekolah untuk melahirkan murid yang inovatif melalui pendedahan kepada pendekatan pemikiran rekabentuk dan asas Arduino.” katanya.
Program ini membuktikan bahawa pemindahan ilmu melalui KTP UPSI bukan sahaja memberi impak kepada murid-murid, tetapi turut memperkasa guru serta siswazah pelatih yang terlibat dalam mengintegrasikan konsep pemikiran reka bentuk dan penggunaan pengaturcaraan Arduino.
