Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar, bergambar bersama warga SRSB serta ibu bapa yang hadir.Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar, bergambar bersama warga SRSB serta ibu bapa yang hadir.

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari dan Dr. Kama Shaffeei

Tanjong Malim, 29 Ogos 2025 – Suasana Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pagi tadi bergema dengan sorakan semangat patriotik apabila seluruh warga sekolah bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah dan berwarna-warni.

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Orang Besar Jajahan (OBJ) Muallim, Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Hj. Ahmad, yang berkenan menyempurnakan perasmian sambutan.

Dalam ucapannya beliau berkata anak-anak generasi hari ini perlu dididik bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga nilai murni dan semangat cintakan negara.

“Marilah kita bersama-sama memastikan semangat kebangsaan ini terus subur. Anak-anak murid sekalian, kamu semua adalah pewaris masa depan negara.

“Jagalah perpaduan, amalkan nilai-nilai murni, dan teruslah berusaha menjadi generasi yang berilmu, berdisiplin serta berakhlak mulia “, katanya.

Turut hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, serta Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pendidikan Swasta), Pejabat Pendidikan Daerah Muallim, Mohd Irwan bin Manshur, ibu bapa dan rakan strategik sekolah Bank Simpanan Nasional (BSN).

Majlis bertambah meriah apabila 58 orang murid SRSB tampil dengan penuh kreativiti dalam pertandingan pakaian beragam bertemakan kemerdekaan.

Sorakan gemuruh dan wajah ceria anak-anak Seri Budiman mewarnai suasana, menggambarkan betapa generasi muda ini menyerap semangat cintakan tanah air.

Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad (tiga daripada kiri) memotong kek sebagai gimik pelancaran dan perasmian majlis.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar, menyampaikan hadiah kepada pemenang pakaian beragam kemerdekaan bersama dengan ibu bapa murid.

Sementara itu, Chief of Education (CoE) SRSB, Dr. Kama Shaffeei berkata Tema sambutan tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” membawa mesej yang sangat besar.

“Kita mahu melahirkan generasi murid yang bijak dalam ilmu, tinggi akhlaknya, dan cinta pada negaranya. Anak-anak Seri Budiman inilah harapan bangsa, pewaris yang akan terus mempertahankan Malaysia di masa hadapan, ” katanya.

Sambutan ini menjadi platform untuk menyemai semangat patriotisme, menanam nilai perpaduan, serta membina jati diri generasi muda khusunya 58 orang murid SRSB agar terus mencintai tanah air.