oleh:Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan, Nurul Afiqah Noor Azman dan Nor Zulaikhar Othman

Hulu Selangor, 14 Oktober 2025 – Pensyarah dalam bidang pendidikan matematik iaitu Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan bersama dua orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan pendidikan merangkap pembantu fasilitator telah menjalankan bengkel gamifikasi yang bertajuk Game-Based Inquiry Learning (GIL) anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor (PPD Hulu Selangor) diketuai oleh Encik Zuhaidi bin Mukrim, pegawai SISC+.          

Bengkel ini berlangsung di Pusat Latihan PPD Hulu Selangor  bertempat di SK Kuala Khubu Baru, melibatkan 50 orang guru matematik sekolah rendah di Hulu Selangor yang mengikuti bengkel ini untuk mempelajari teknik gamifikasi dalam konteks pengajaran.

Sepanjang bengkel berlangsung, guru – guru diperkenalkan dengan aktiviti galah panjang yang merupakan salah satu gamifikasi yang boleh digunakan untuk pembelajaran inkuiri dalam tajuk Geometri iaitu jenis-jenis sudut, antaranya ialah sudut tirus, sudut cakah dan sudut refleks.

Aktiviti pembinaan gamifikasi juga telah dijalankan bagi membantu para guru untuk lebih kreatif dalam menjalankan pengajarannya di sekolah kelak. Dengan pendekatan ini, guru-guru lebih terbuka untuk membina gamifikasi yang bersesuaian dengan persekitaran kelas, bilangan pelajar dan subtopik yang perlu diterapkan dalam gamifikasi tersebut.

Melihat kepada impak positif dan penglibatan guru-guru matematik sekolah rendah daerah Hulu Selangor ini, bengkel seperti ini wajar diteruskan dan dijadikan bengkel tahunan untuk bakal-bakal guru di masa hadapan.