Oleh: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi

Tanjong Malim: Mahasiswa universiti perlu memberanikan diri untuk ‘keluar dari kepompong’ dalam membina jati diri mahasiswa yang cemerlang dan meraih banyak kemahiran baharu yang boleh membawa nilai tambah dalam keperluan industri kini.

Ain Syafia Qutreenie Mohd Alwi,25 tersenyum riang apabila dinobatkan sebagai pemegang Anugerah Khas Adni sempeni Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-25. Graduan ISMP Pendidikan Khas ini turut diberikan tanggungjawab menjadi wakil graduan untuk berucap di Istiadat Konvokesyen UPSI sidang ke-7.

Menurutnya, kesempatan ini adalah hasil penantian dan kerja keras serta doa ibubapa yang sentiasa berada dibelakang perjuangan sebagai seorang mahasiswa.

“Apabila mendapat anugerah ini, saya merasa syukur Alhamdulillah kerana ini adalah hasil dari perjuangan saya selama ini dan apabila dipilih dalam kalangan 1051 graduan untuk berucap di pentas istiadat, saya pasti akan mempersiapkan diri dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Dalam ucapan, beliau memetik juga nasihat dari Naib Canselor UPSI, Prof Dato Dr Md Amin Md Taff di mana kesusahan dan kepayahan adalah sesuatu nikmat yang dalam tidak sedar membentuk siapa kita di masa hadapan.

“Ingin saya tekankan, setiap manusia perlu ada impian. Keyakinan diri untuk mencapai impian tersebut juga penting kerana ia akan mempengaruhi pola pemikiran dan tindakan kita. Kerja keras mencapai impian juga perlu ada. Tanpa usaha, impian tidak akan dicapai dan kejayaan tidak akan dirangkul secara tiba-tiba,” katanya dalam ucapan.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Khas yang merupakan penasihat akademik, Dr Ardzulyna Anal menjelaskan bahawa Qutreenie sememangnya seorang yang bijak dan mudah diajak bicara untuk bekerjasama dalam penganjuran program dan diskusi akademik.

“Saya melihat bahawa Qutreenie boleh dijadikan inspirasi mahasiswa untuk lebih aktif dan seimbang dalam akademik dan kokurikulum. Sebagai pendidik, kita perlu lebih melihat murid kita dalam skop yang lebih besar dan membantu mencungkil bakat dan kebolehan yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan malahan juga perlu terlibat dalam penyelidikan dan eksplorasi ilmu untuk kepentingan masyarakat dan negara,” katanya sewaktu ditemubual.

Beliau menambah bahawa dalam mencapai matlamat Kementerian Pengajian Tinggi, pendidik bukan sahaja perlu berusaha menjadikan pendidikan tinggi lebih berkualiti malahan dapat melahirkan insan yang cemerlang dan berdaya saing di peringkat antabangsa serta memenuhi kualiti profesional dalam industri pendidikan mahupun yang lain.

Ain Syafia Qutreenie berjaya mencipta nama dalam pentas inovasi di peringkat antarabangsa. Salah satunya adalah Pingat Emas dan Perolehan Markah Tertinggi di World Conference and Innovation in Early Childhood Education 2021. Beliau juga pernah terlibat dengan program mobiliti antarabangsa iaitu di Universitas Negeri Yogyakarta, Universitas Pendidikan Indonesia, Bandung  dan Universiti Fatoni.

“Saya sebagai alumni UPSI akan terus bertekad untuk menyumbang bakti dan kejayaan untuk membawa nama UPSI di peringkat tertinggi. Saya akan sentiasa membuka pintu untuk terus berkongsi kepakaran kepada mahasiswa dan semua pihak untuk bersama meningkatkan lagi mutu pendidikan dan pembangunan sahsiah mahasiswa demi negara yang tercinta,” katanya lagi.

Mahasiswa ISMP Pendidikan Khas secara keseluruhan mempunyai pencapaian di peringkat tertinggi dalam pelbagai bidang termasuklah inovasi, penglibatan sosial, anugerah kecemerlangan dan sukan.

UPSI akan sentiasa memberi ruang dan peluang kepada semua mahasiswa untuk terus bergiat aktif dan cemerlang serta membawa bendara UPSI di peringkat tertinggi. Kemenjadian mahasiswa juga diukur dalam program-program komuniti supaya mereka akan lebih siap menjadi seorang guru yang bermanfaat kepada masyarakat.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)