Oleh Haikal Musa

Tanjong Malim, 14 Oktober 2025 – Majlis Ikrar Pelajar Baharu Saluran Bitara dan Rayuan Ijazah Sarjana Muda Sesi Akademik 2025/2026 berlangsung dengan penuh semangat di Dewan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Majlis ini diketua oleh Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPE), Profesor Madya Dr. Mohd Asri bin Mohd Noor, yang turut hadir bagi menyampaikan ucapan dan menyempurnakan simbolik pelancaran majlis. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan padu pihak fakulti terhadap usaha membentuk pelajar UPSI yang berdisiplin dan berwawasan.

Dalam ucapannya, Profesor Madya Dr. Mohd Asri menzahirkan rasa bangga atas kehadiran pelajar baharu ke universiti dan menegaskan bahawa ikrar yang dilafazkan bukan sekadar acara formal, tetapi lambang komitmen untuk menegakkan nilai integriti, tanggungjawab dan kecemerlangan akademik.

Ikrar yang dilafazkan hari ini menjadi titik mula perjalanan akademik anda. Jadikan setiap langkah di UPSI sebagai medan untuk membina sahsiah, kepimpinan dan jiwa pendidik yang unggul,” ujar beliau.

Majlis turut dihadiri oleh Puan Hajah Masakan binti Ahmad, Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), yang menzahirkan penghargaan kepada semua pelajar atas semangat dan komitmen mereka untuk menjadi warga universiti yang aktif dan berdaya saing.

Bacaan ikrar pula dipimpin oleh wakil pelajar baharu, disertai oleh seluruh pelajar saluran Bitara dan Rayuan Ijazah Sarjana Muda yang berdiri teguh dan mengangkat tangan dengan penuh rasa bangga serta semangat patriotik. Lafaz ikrar yang bergema di seluruh dewan menjadi simbol penyatuan tekad dan janji mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warga UPSI yang berilmu, berdisiplin, dan menjunjung tinggi nilai-nilai universiti.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah barisan pentadbir fakulti, pegawai kolej kediaman, serta wakil BHEA dan BHEP, yang bersama-sama meraikan kehadiran pelajar baharu ke dalam komuniti besar UPSI.

Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu universiti dan laungan semangat, menandakan bermulanya langkah pertama pelajar sebagai warga UPSI yang berilmu, berwibawa dan berjiwa pendidik.