Oleh: Dr. Farah Najwa Ahmad Puad
Bukit Beruntung, 11 Oktober 2025 – Kuku pun kena kilatkan! Seramai 10 orang pelajar Program Ekonomi Rumah Tangga (ERT) Semester 3 dan 5, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama-sama memeriahkan suasana Karnival Kokurikulum di SMK Taman Bunga Raya 1 (SMKTBR 1) baru-baru ini. Pelbagai aktiviti telah disediakan kepada murid Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 (SMKTBR1) semasa karnival tersebut dan yang paling menarik adalah perkhidmatan manicure oleh pelajar-pelajar Program ERT. Aktiviti yang telah berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di Kelas 5D sekolah ini merupakan kali pertama perkhidmatan seperti ini diperkenalkan di SMKTBR1.
Kolaborasi istimewa antara FTV dengan SMKTBR1 telah memberi peluang keemasan untuk warga sekolah merasai sendiri pengalaman mengilatkan kuku dan mengurut tangan oleh bakal guru yang terlatih dan berpengetahuan daripada Program ERT. Aktiviti ini bukan sahaja dapat menceriakan suasana Karnival Kokurikulum SMKTBR 1, malah membuka ruang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah dalam memperkasa ilmu pengetahuan, kemahiran dan gaya hidup yang sihat. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada pelajar UPSI dalam mengaplikasikan kemahiran praktikal sambil meningkatkan kesedaran tentang penjagaan diri dan kebersihan dalam kalangan warga sekolah.




“Kami sangat teruja dan berbesar hati dengan jemputan ini. Aktiviti ini bukan sahaja dapat memberi ruang kepada pelajar Program Ekonomi Rumah Tangga untuk mengasah kemahiran, malah memperkenalkan bidang Terapi Estetik kepada komuniti sekolah,” ujar Dr. Farah Najwa, pensyarah dari Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer, Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI.
Berpakaian seragam dan lengkap dengan peralatan, para pelajar Program ERT mempamerkan kemahiran tinggi dalam memberikan perkhidmatan manicure seperti nail trimming and shaping, buffing dan urutan tangan. Sambutan yang luar biasa diterima daripada murid dan guru yang hadir merasai sendiri pengalaman tersebut.



“Best sangat! Tak sangka boleh rasa macam pergi spa walaupun dekat sekolah je,” kata Nur Ainul, pelajar Tingkatan 4 yang sempat mencuba perkhidmatan manicure ini.
Bukan itu sahaja, aktiviti perkhidmatan manicure ini juga bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid sekolah tentang peluang kerjaya dalam bidang kecantikan dan terapi estetik. Ianya sejajar dengan perkembangan industri kesihatan dan gaya hidup masa kini yang mementingkan kecantikan dan kesihatan diri.
Selain itu, aktiviti ini turut menyemai nilai keyakinan diri, kebersihan dan penjagaan diri secara beretika, selaras dengan aspirasi pendidikan yang holistik.
“Aktiviti ini mendapat sambutan hangat dan berjaya memeriahkan karnival kokurikulum SMKTBR1 pada tahun ini. Lebih penting lagi, aktiviti perkhidmatan manicure ini dapat mendidik murid sekolah supaya sentiasa menjaga penampilan diri dengan kemas dan rapi,” kata Encik Hazeem, penyelaras Karnival Kokurikul SMK TBR1.
Tambah beliau, penampilan diri merupakan salah satu aspek penting dalam membantu meningkatkan keyakinan diri dan hubungan sosial murid serta membuka minda mereka tentang potensi kerjaya dalam industri kecantikan dan kesejahteraan yang semakin berkembang termasuklah peluang perniagaan seperti spa bergerak atau mobile spa yang boleh diceburi selepas tamat persekolahan.
Inisiatif ini sejajar dengan rangka kerja Kerajaan Madani yang menekankan tentang pembangunan modal insan secara holistik melalui peningkatan kemahiran praktikal dan pembinaan sahsiah mulia. Usaha seperti ini dilaksanakan bertujuan untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah, mampu menguasai berkemahiran dalam bidang yang diceburi serta memiliki sifat daya tahan yang tinggi dan mampu bersaing secara positif.
Seterusnya, aktiviti perkhidmatan manicure oleh pelajar UPSI ini bukan sahaja dapat menambah warna dan nilai kepada karnival kokurikulum SMKTBR1, malah dapat memberi contoh terbaik bagaimana pendidikan dapat dihubungkan dengan penglibatan komuniti dan persediaan kerjaya.
Akhir sekali, pihak sekolah turut menzahirkan penghargaan kepada Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI atas kesudian bersama-sama menjayakan program ini dan berharap agar jalinan kerjasama seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan.
