Oleh: Muhd Ibrahim Muhamad Damanhuri, Maizatul Najwa Jajuli, Sharifah Norain Mohd Sharif, Mohamad Syahrizal Ahmad, Mohamad Idris Saidin
KOTA SETAR, 3 Oktober 2025 – Seramai 90 murid dan 15 guru Kimia dari daerah Kota Setar menyertai Program Pemindahan anjuran Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar, Kedah. Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, Kedah, bertujuan memperkasa PdP Kimia dan memupuk minat murid terhadap subjek tersebut melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan berimpak tinggi.


Menurut Professor Dr. Mohd Azlan Nafiah, Pengarah UCTC UPSI, program ini merupakan salah satu inisiatif pemindahan ilmu berimpak tinggi yang menjadi platform kepada pensyarah dan mahasiswa UPSI untuk memperkasa pendidikan komuniti setempat.
Program ini melibatkan lapan orang fasilitator pelajar Kimia UPSI yang berperanan sebagai tenaga pengajar muda dalam membimbing peserta melalui pelbagai aktiviti pembelajaran berasaskan sains dan inkuiri. Mereka turut dibantu oleh tenaga akademik Jabatan Kimia yang berperanan memastikan pelaksanaan program berjalan secara sistematik dan berimpak tinggi.
Kandungan program menampilkan kompilasi empat modul pembelajaran kimia interaktif yang direka khas untuk membantu guru dan murid memahami konsep Kimia melalui pendekatan yang menyeronokkan, mudah dan berasaskan pengalaman sebenar. Modul-modul ini menggabungkan elemen inkuiri, kontekstual, kolaboratif dan gamifikasi bagi menjadikan PdPc Kimia lebih menarik serta relevan dengan kehidupan seharian murid.


Aktiviti yang dijalankan melibatkan eksperimen mudah alih, simulasi interaktif, projek kitar semula berasaskan sains, dan pembelajaran kontekstual menggunakan bahan harian. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman terhadap konsep Kimia, tetapi juga menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi serta kesedaran terhadap isu alam sekitar.
Menurut Ripidi Ahmad, SISC+ Sains dan Matematik zon Kota Setar, pendekatan UPSI ini mudah, kreatif dan mampu menarik minat pelajar pelbagai tahap keupayaan, serta wajar diteruskan di sekolah-sekolah lain.
“Program sebegini bukan sahaja memberi inspirasi kepada murid, malah membantu guru melihat potensi baharu dalam PdPc Kimia melalui aktiviti yang menyeronokkan dan relevan dengan dunia sebenar,” ujarnya.
Penasihat program, Dr. Muhd Ibrahim Muhamad Damanhuri, menegaskan program yang dibiayai oleh UCTC UPSI ini sebagai sebahagian daripada inisiatif universiti memperkasa komuniti melalui ilmu dan memperkukuh jaringan strategik antara universiti serta agensi pendidikan tempatan. Beliau menambah bahawa pendekatan kolaboratif sebegini perlu diteruskan bagi memastikan pembangunan profesional guru dan minat murid terhadap sains dapat dipupuk secara berterusan.
