Oleh: Dr Abdul Muiz Nor Azmi
Padang, Indonesia, 26 Oktober 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) terus memperkukuh hubungan antarabangsa apabila menjalin kerjasama strategik dengan Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia menerusi penganjuran ASEAN Sports Connection 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 26 Oktober 2025 di Padang, Indonesia.
Program ini merupakan inisiatif jaringan serantau yang menggabungkan elemen akademik, profesional dan sukan dalam usaha memperkukuh kolaborasi dua hala antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi. Seramai 23 orang staf akademik dan bukan akademik UPSI telah menyertai program ini yang merangkumi aktiviti lawatan fakulti, sesi perkongsian akademik, serta perlawanan persahabatan bola sepak antara UPSI All StardanUNP All Star sebagai kemuncak acara.
Menurut Profesor Madya Dr. Jaffry Zakaria, Dekan FSSK UPSI, program ini bukan sekadar medan pertemuan atlet dan pensyarah, tetapi menjadi platform penting bagi pertukaran idea dan amalan terbaik dalam bidang pembangunan sukan di rantau ASEAN.
“Melalui jaringan seperti ini, kita dapat memperluas peluang penyelidikan bersama, mobiliti staf dan pelajar, serta memperkukuh imej UPSI sebagai universiti pendidikan bertaraf antarabangsa,” jelas beliau.


Tambah beliau, acara seperti ini menjadi medium yang terbaik untuk saling bertukar pendapat bersama pihak UNP dalam menambah baik mutu program akademik sedia ada khususnya di FSSK sendiri. “Kita melihat ruang dan peluang untuk melebarkan sayap bagi program akademik sedia ada seperti program dual degree dan program rehabilitasi sukan bersama pihak UNP,” ujar beliau.
Sementara itu, pihak UNP yang diwakili oleh Fakultas Ilmu Keolahragaan (FIK) menyambut baik kunjungan UPSI dan menzahirkan hasrat untuk memperluas kerjasama akademik dan penyelidikan dalam bidang kejurulatihan, pendidikan jasmani, dan sains sukan.


Dalam perlawanan persahabatan bola sepak yang diadakan di Stadium UNP, pasukan tuan rumah berjaya menewaskan UPSI All Star dalam suasana penuh semangat kesukanan. Walaupun tewas melaui penentuan sepakan penalti, pasukan UPSI yang diketuai oleh Dr Abdul Muiz Nor Azmi memperlihatkan semangat juang dan solidariti yang tinggi, mencerminkan matlamat utama program ini iaitu memperkukuh persahabatan dan pertukaran budaya melalui sukan.
Program ASEAN Sports Connection 2025 turut menyokong aspirasi UPSI untuk memperkukuh jaringan antarabangsa, sejajar dengan agenda universiti ke arah “Global Partnership and Academic Excellence”. Melalui hubungan erat ini, kedua-dua universiti komited untuk terus menjadi peneraju dalam pembangunan sukan dan pendidikan di peringkat ASEAN. Program ASEAN Sport Connection ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan di salah sebuah universiti di Thailand.
