Oleh : Chempaka Nur Ariesha Juhari & Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib

Tanjong Malim, 31 Oktober 2025 – Neon Green Run kembali lagi memeriahkan Padang Kawad Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan penglibatan lebih 600 orang peserta. Majlis Tertinggi Persatuan Geografi (PERGEO) menganjurkan program ini dengan tujuan melahirkan pelajar-pelajar UPSI yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik malah cemerlang dari segi fizikal dan mentalnya.

Tepat jam 7.30 malam, para peserta Neon Green Run sudah mula membanjiri padang kawad dengan penuh semangat dan keterujaan untuk mendaftar serta bersiap sedia bagi acara larian yang dinanti-nantikan. Majlis turut dirasmikan oleh Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, selaku Penasihat Persatuan Geografi Sesi 2024/2025, yang turut memberikan kata-kata semangat kepada semua peserta.

Aktiviti pemanasan badan dan senamrobik

Sebelum acara larian dimulakan, para peserta  bersama-sama mengikuti sesi senamrobik yang meriah dan berjaya menaikkan lagi suasana ceria malam itu. Sekitar jam 9.00 malam, tibalah masa untuk  pelepasan peserta dilakukan di gerbang utama pelepasan, menandakan bermulanya lariannya penuh warna, semangat, dan kegembiraan! Sebanyak 30 medal disediakan untuk 15 peserta lelaki dan 15 peserta perempuan terpantas sebagai penghargaan atas semangat dan usaha mereka dalam menamatkan larian dengan cemerlang. Selain itu, turut diadakan 10 cabutan bertuah yang menambahkan lagi keterujaan dalam kalangan peserta pada malam tersebut.

Pelepasan larian Neon Green Run 2.0

Pihak Persatuan Geografi (PERGEO) juga  menyediakan pelbagai cenderamata menarik seperti roti dan air mineral, gelang tangan (wristband) serta glowstick yang menyerlahkan tema “Neon Green Run” penuh warna, ceria dan bercahaya di malam hari.

Melalui penganjuran program ini, diharapkan para peserta berasa gembira dan berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan. Secara keseluruhannya, rata-rata peserta memberikan maklum balas positif, menyifatkan program ini sangat meriah, teratur dan menyeronokkan dari mula hingga tamat.