Oleh: Dr. Jamilah Mohd Basir

Tanjong Malim: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar satu lagi kejayaan bermakna diberikan peniktirafan sebagai Ahli Institusi (Institutional Member) bagi Asia-Pacific Regional Network for Early Childhood (ARNEC).

ARNEC merupakan sebuah rangkaian berprestij yang menghimpunkan organisasi, institusi dan pakar dalam bidang pembangunan awal kanak-kanak di rantau Asia Pasifik seperti UNICEF dan Early Childhood Australia. Keanggotaan NCDRC dalam ARNEC telah membuka peluang kepada pelbagai inisiatif serantau berkaitan penyelidikan, advokasi dasar, perkongsian ilmu, dan pembangunan kapasiti yang berfokus kepada kualiti pendidikan dan kesejahteraan awal kanak-kanak.  

Justeru, ia dapat memperkukuh jaringan antarabangsa serta memperluas kolaborasi dengan institusi global dalam pelbagai bidang termasuk inovasi pedagogi, penyelidikan pembangunan kanak-kanak dan perkongsian data berimpak tinggi. Keahlian ini juga sejajar dengan misi NCDRC untuk menjadi pusat rujukan utama dalam bidang pendidikan dan perkembangan kanak-kanak di peringkat kebangsaan serta antarabangsa. 

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa NCDRC kini bukan sahaja berperanan sebagai peneraju nasional dalam bidang penyelidikan awal kanak-kanak, tetapi turut menjadi sebahagian daripada ekosistem global yang memperjuangkan kualiti hidup dan pembangunan menyeluruh kanak-kanak di seluruh rantau Asia Pasifik.