Putrajaya, 5 November 2025 – Dua Letter of Intent (LoI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah terpilih untuk dipersembahkan dalam Festival Idea Putrajaya 2025 – MyIDEAS Connect: Kolaborasi Antara Institusi dan Pelancaran Produk anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kedua-dua LoI tersebut melibatkan kerjasama strategik antara UPSI dengan Appbooks Sdn. Bhd. dan Appmedia Inc. (Korea), serta dengan University of Oxford, United Kingdom, melalui pelaksanaan bersama Sekolah Rendah Seri Budiman (SSB) dan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Kebangsaan (NCDRC).
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan inovasi pendidikan digital, pembelajaran berasaskan aplikasi pintar, dan intervensi awal kanak-kanak yang berpaksikan penyelidikan saintifik. Projek bersama Appbooks dan Appmedia Inc. (Korea) menekankan penghasilan kandungan pembelajaran digital interaktif bagi sekolah rendah dan prasekolah, manakala kerjasama dengan University of Oxford melalui Nuffield Early Language Intervention (NELI) Pilot Project bertujuan memperkukuh kecekapan bahasa dan literasi awal kanak-kanak di Malaysia.
Menurut Timbalan Naib Canselor UPSI, YBrs. Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar, pemilihan dua LoI ini mencerminkan pengiktirafan terhadap keupayaan UPSI sebagai universiti peneraju pendidikan negara yang sentiasa mengutamakan penyelidikan berimpak tinggi serta hubungan erat dengan rakan industri dan antarabangsa. “Kolaborasi seperti ini bukan sahaja memperkukuh reputasi UPSI di peringkat global, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan modal insan berteraskan teknologi dan nilai Malaysia MADANI,” katanya.
Sementara itu, projek-projek ini turut disokong oleh pendekatan Education 5.0@UPSI, yang menekankan integrasi teknologi, kreativiti, dan empati dalam ekosistem pembelajaran. Inisiatif ini diharap dapat memperkasa pelajar, pendidik, dan masyarakat dalam menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21.
Festival Idea Putrajaya 2025 menjadi platform penting untuk menampilkan kejayaan penyelidikan, inovasi, dan kolaborasi antara Institusi Pendidikan Tinggi dan industri, sejajar dengan aspirasi KPT untuk memacu transformasi pendidikan tinggi melalui sinergi pelbagai pihak serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.
Majlis pertukaran LoI tersebut disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, bersama barisan kepimpinan universiti dan rakan industri yang hadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian (tengah) menyaksikan LoI antara Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar (kiri) dengan Puan Izza Ismail, UK Foreign, Commonwealth and Development Office (kanan).

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian (tengah) menyaksikan LoI antara Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar (kiri) dengan Pengerusi Eksekutif Appbooks Sdn. Bhd., Mohd Musyaffa’ bin Mohd Fadzin (kanan).
