Tanjong Malim, 25 Oktober 2025 – Program Tradisi vs Generasi: “Meneroka Nilai, Mencorak Identiti” anjuran Exco Blok Kediaman 6 telah berlangsung dengan jayanya pada 25 Oktober 2025 bertempat di KHAR Central, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini dianjurkan bertujuan memupuk semangat berpasukan serta mengeratkan ukhwah dalam kalangan mahasiswa, di samping memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman peserta terhadap permainan tradisional. Selain itu, penganjuran program ini turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti permainan tradisional yang melibatkan pergerakan fizikal aktif.


Antara acara menarik yang dijalankan sepanjang program ini termasuk baling selipar, sepak raga, dan chap teh. Program ini menyasarkan penyertaan mahasiswa Kolej Kediaman Harun Aminurrashid (KHAR), khususnya penghuni Blok Kediaman 6. Namun demikian, penyertaan turut dibuka kepada mahasiswa dari kolej kediaman lain seperti Kolej Ungku Omar (KUO) dan Kolej Awang Had Salleh (KAHS).
Program dimulakan dengan slot senamrobik yang diketuai oleh Azniel bin Harun sebagai aktiviti pemanasan badan sebelum peserta menyertai acara fizikal yang lebih mencabar. Aktiviti ini bukan sahaja membantu mengurangkan risiko kecederaan, malah meningkatkan tahap kecergasan peserta.
Seterusnya, acara sukan rakyat menjadi tumpuan utama apabila peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk bertanding dalam tiga permainan tradisional. Melalui aktiviti ini, peserta bukan sahaja dapat mengimbau nostalgia permainan lama, bahkan berpeluang membina kemahiran insaniah seperti kerjasama berpasukan dan kemahiran komunikasi.
Majlis penutup program dimulakan dengan ketibaan Dr. Muhammad Ridhwan bin Sarifin, Felo Blok Kediaman 6 selaku tetamu jemputan. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Alexander Brandon, Pengarah Program merangkap Exco Blok Kediaman 6, diikuti dengan ucapan oleh Dr. Muhammad Ridhwan serta penyampaian hadiah kepada para pemenang.


Menurut salah seorang peserta, mereka berasa gembira dan teruja dengan penganjuran program ini kerana ia bukan sahaja menyeronokkan, malah berjaya memupuk semangat kerjasama melalui aktiviti berkumpulan yang dijalankan.
Secara keseluruhannya, program Tradisi vs Generasi: “Meneroka Nilai, Mencorak Identiti” telah berjaya menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara penghuni blok kediaman serta memberi kefahaman mendalam tentang warisan permainan tradisional. Diharapkan penganjuran seperti ini akan terus menjadi platform dalam membentuk nilai positif dan semangat kekitaan dalam kalangan warga KHAR.
