Penglibatan sukarelawan pelajar dan pensyarah daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI.Penglibatan sukarelawan pelajar dan pensyarah daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI.

Oleh: Syarafana binti Samsol Baharin, Fakulti Sains dan Matematik

KUALA SELANGOR, 25 Okt – Seramai 26 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM) bersama seorang pensyarah pengiring telah menyertai Pesta Sayap 2025 yang berlangsung selama dua hari di Taman Alam Kuala Selangor pada 25 dan 26 Oktober lalu.

Program tahunan anjuran bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Taman Alam Kuala Selangor itu telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Pesta berkenaan bertujuan menghargai keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian spesies burung, khususnya burung migrasi yang singgah di kawasan tanah lembap Kuala Selangor. Ia turut menjadi tarikan utama pelancongan eko dan platform pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan biodiversiti.

Pelajar-pelajar UPSI yang menjadi sukarelawan dalam aktiviti Penanaman Pokok Paya Bakau.
Penglibatan pelajar- pelajar sekolah dalam aktiviti Seed Germination belajar memahami cara percambahan biji benih.
Proses pemanasan minyak oleh sukarelawan pelajar bagi tujuan pemahaman yang lebih mendalam kepada para pengunjung.

Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, menekankan bahawa penyertaan pelajar dalam program sebegini selaras dengan visi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi. “Pengalaman luar bilik darjah seperti ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman pelajar terhadap teori yang dipelajari, malah membentuk jati diri, semangat kesukarelawanan serta kepekaan terhadap isu alam sekitar dan masyarakat,” ujarnya.

Sepanjang Pesta Sayap 2025, pelajar UPSI tampil sebagai sukarelawan dan pempamer melalui pelbagai aktiviti interaktif berasaskan pendidikan alam sekitar. Antara aktiviti utama ialah penanaman pokok bakau di Hutan Paya Bakau Taman Alam Kuala Selangor, di mana peserta didedahkan kepada peranan ekosistem paya bakau sebagai penampan semula jadi yang melindungi pantai daripada hakisan serta menjadi habitat penting bagi pelbagai spesies flora dan fauna akuatik.

Antara pameran tentang Biodiversiti burung serta pelajar-pelajar UPSI.
Para pengunjung yang datang mencuba permainan yang disediakan oleh pelajar-pelajar UPSI.

Selain itu, pelajar turut melaksanakan aktiviti “seed germination” (percambahan biji benih) yang memberi pendedahan kepada pengunjung tentang proses awal pertumbuhan tumbuhan, serta pembuatan lilin daripada minyak masak terpakai, sebagai usaha memperkenalkan inovasi hijau dan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.

Dalam aktiviti pembuatan lilin, minyak masak terpakai diproses dan dicampur dengan lilin parafin atau lilin soya sebelum ditambah pewangi semulajadi seperti serai dan lavender. Lilin yang dihasilkan bukan sahaja mesra alam, malah menarik perhatian pengunjung sebagai produk berpotensi untuk ekonomi hijau.

Pelajar UPSI turut menonjolkan kreativiti melalui beberapa pameran interaktif seperti “Birds Learning Gamification”, “Class Insecta: The Ecological Marvel”, “Mangrove Ecosystem Study Kit”, “Human vs Wildlife Conflict: The Model in Taman Alam Kuala Selangor” serta “Biodiversity Tourism: The Case of Taman Alam Kuala Selangor”.

Menariknya, pendekatan gamifikasi yang diterapkan dalam pameran menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan interaktif. Elemen permainan digunakan untuk menarik minat pengunjung pelbagai peringkat umur bagi memahami ilmu sains alam sekitar secara santai namun berkesan.

Seorang guru pengiring yang ditemui berkata, “Pameran pelajar UPSI sangat kreatif dan berinformasi, sesuai untuk semua peringkat umur. Mereka berjaya menyampaikan mesej pendidikan alam sekitar dengan cara yang mudah difahami dan menarik.”

Papan komen yang dibuat khas oleh pelajar UPSI kepada para pengunjung yang hadir untuk memberikan testimoni mereka.
Hari terakhir pelajar-pelajar UPSI di Taman Alam Kuala Selangor.

Sepanjang tiga hari dua malam di lokasi program, pelajar UPSI bukan sahaja terlibat dalam aktiviti pendidikan dan pameran, tetapi turut menjalankan kajian lapangan, memberi peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman sebenar dalam bidang pendidikan alam sekitar, pemuliharaan dan komunikasi sains.

Secara keseluruhan, Pesta Sayap Kuala Selangor 2025 bukan sekadar acara meraikan keindahan burung migrasi, tetapi menjadi wadah penting yang menghubungkan masyarakat, institusi pendidikan dan alam semula jadi. Penglibatan aktif pelajar UPSI mencerminkan semangat kepimpinan muda, kepekaan terhadap isu kelestarian dan komitmen terhadap agenda pembangunan lestari dan pendidikan hijau demi kesejahteraan generasi akan datang.