ISKANDAR PUTERI, 25 Okt 2025 – SMK Bukit Batu, Kulai melakar kejayaan membanggakan apabila meraih Pingat Gangsa dalam Pameran RCE Iskandar Sustainable & Low Carbon Schools Exhibition 2025 yang berlangsung di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 24 hingga 25 Oktober lalu.

Pameran berprestij itu menghimpunkan sekolah-sekolah di Johor yang komited mempromosikan nilai kelestarian dan inovasi hijau dalam pendidikan. Kejayaan tersebut membuktikan usaha gigih warga SMK Bukit Batu dalam menerapkan budaya tanggungjawab terhadap alam sekitar serta memperkukuh amalan inovasi dalam kalangan pelajar.

Seramai empat murid mewakili sekolah itu iaitu Nurasni Afrina Kamarulnizam, Muhammad Fahmi Syahmi Mohamad Hafiz, Mary Clare Elizabeth Anak Paul Rossi dan Aisyah Azzahira Zainol. Penyertaan mereka menyerlahkan keupayaan pelajar menghasilkan produk serta idea inovatif yang bukan sahaja kreatif, malah berpaksikan pemahaman mendalam terhadap konsep kelestarian dan teknologi hijau.

Kejayaan berkenaan turut didokong barisan guru pembimbing termasuk Penyelaras Lestari 1, Juhaida Mispan; Penyelaras Lestari 2, Siti Khadijah Khalid; Guru Pembimbing Toyota Eco Youth, Muhammad Hakim Ahmad; serta Guru Pengiring, Intan Fazlin Natasha Mohd Fawzi. Turut menyumbang kepakaran ialah tokoh seni, Hatta Hashim atau ‘Muralman’ yang membantu dari aspek reka bentuk dan estetika pameran.

Juhaida berkata, SMK Bukit Batu merupakan antara sekolah yang aktif menyertai program berasaskan kelestarian dan inovasi pendidikan. Katanya, penyertaan dalam pameran itu membuktikan komitmen sekolah memupuk nilai hijau dalam kalangan pelajar serta melahirkan generasi yang lebih peka terhadap isu alam sekitar.

“Pencapaian ini diharap menjadi pemangkin kepada kecemerlangan lebih besar dan mendorong warga sekolah terus komited memperjuangkan agenda pendidikan lestari,” katanya.

Kejayaan SMK Bukit Batu turut diraikan Majlis Anak Johor (M@JOR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menyatakan rasa bangga atas usaha sekolah Johor mengharumkan nama negeri. M@JOR berharap sekolah berkenaan terus mengekalkan kecemerlangan serta menjadi contoh dalam pendidikan hijau dan kelestarian.