Oleh Arissa Hasya Auni
Tanjung Malim – 17 November 2025, Tepat jam 1:00 petang, pada hari ini, Ketua Editor, Asian Journal of Assessment in Teaching and Learning (AJATEL), dari Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) Profesor Madya Dr Mohamed Nor Azhari Azman, selesai menekan butang hantar bagi permohonan mendapatkan pengindeksan Scopus.
Dengan penghantaran ini, AJATEL menjadi sandaran pengindeksan Scopus buat UPSI setelah kejayaan jurnal Malaysian Journal Music (MJM) pada 2016 dan Journal of Science and Mathematics Letter (JSML) pada tahun ini.
Menurut Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan) yang mewakili Pengarah Pejabat Karang Mengarang (PKM) Dr Laili Farhana Md Ibrahim, Bengkel Persediaan Permohonan Scopus melibatkan AJATEL bersama Perunding Jurnal UPSI yang diadakan pada hari ini bagi menoktahkan permohonan jurnal tersebut bagi mendapatkan pengindeksan Scopus.


“PKM menjemput Perunding Jurnal UPSI, Profesor Madya Dr Ramadhansyah Putra Jaya dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah untuk menyumbang kepakaran dan pengalaman luas yang beliau ada bagi membimbing pasukan jurnal ini” kata Dr Lali.
Menurut Dr Laili lagi, sekiranya nanti AJATEL mendapat pengindeksan scopus, jurnal ini akan mencipta sejarah sebagai jurnal UPSI pertama dalam bidang pendidikan menerima pengindeksan berimpak tinggi itu.
Dalam sesi ini, Dr Ramadhansyah memberi bimbingan terhadap perkara teknikal setiap artikel termasuk keperluan memilih artikel yang terdiri daripada variasi penulis dari setiap benua selain memberi panduan berkaitan keperluan memasukkan kandungan “Bussiness Model” dalam laman web jurnal.
Sementara itu, Ketua Seksyen Jurnal yang juga Timbalan Pendaftar Kanan, PKM, Ahmad Janatul Firdaus berkata seramai tiga (3) orang editor hadir ke sesi ini termasuklah Ketua Editor AJATEL, Profesor Madya Dr Mohamed Nor Azhari Azman, Profesor Madya Dr Che Ghani Che Kob dan Profesor Madya Dr Arasinah Kamis.


“Pihak PKM akan menganjurkan satu lagi bengkel melibatkan pasukan Journal of ICT in Education (JICTIE) di bawah Ketua Editor, Profesor Dr Bahbibi Rahmatullah pada bulan Disember 2025 nanti bagi sasaran mendapatkan pengindeksan Scopus” tambah Ahmad.
Keputusan permohonan Scopus ini akan diketahui dalam tempoh 6 bulan. Ini bermakna, berita baik bagi pengindeksan Scopus ketiga UPSI akan diketahui pada tahun 2026 melalui permohonan AJATEL.

