Para pemenang Anugerah Buku Negara 2024–2025 bergambar selepas menerima pengiktirafan pada majlis yang berlangsung di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025.Para pemenang Anugerah Buku Negara 2024–2025 bergambar selepas menerima pengiktirafan pada majlis yang berlangsung di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025.

Tanjong Malim, 3 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi penerbitan ilmiah unggul apabila mencatat sejarah manis dengan meraih lima (5) Anugerah Buku Negara 2024–2025 pada majlis penganugerahan yang berlangsung di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025, Setia City Convention Centre, Shah Alam.

Pengarah Penerbit UPSI, Profesor Dr. Nordiana Hamzah, berkata pencapaian ini menjadi bukti kemampuan UPSI dalam melahirkan karya berimpak tinggi merangkumi bidang ilmiah, kreatif dan biografi, seterusnya memperkukuh kedudukan universiti sebagai peneraju dunia penerbitan pendidikan negara.

Warga Penerbit UPSI meraikan kejayaan selepas lima karya terbitan universiti diumumkan sebagai pemenang Anugerah Buku Negara 2024–2025.

Menurut beliau, antara anugerah yang diraih UPSI termasuk Kategori Pendidikan dan Akademik: Buku Ilmiah Popular menerusi karya Pendekatan Awal Kanak-kanak: Penglibatan Keluarga dan Komuniti di Taska dan Tadika oleh Nordin Mamat dan Abdul Talib Mohamed Hashim, yang mengupas pendekatan holistik pendidikan awal mengutamakan kerjasama komuniti.

Dalam Kategori Penerbitan dan Rekabentuk Buku Terbaik, UPSI turut unggul melalui buku Seronok Numerasi: Pendekatan Peringkat Kefahaman Numerasi, hasil rekabentuk pereka grafik Zuzalina Zulkanain, yang mempamerkan susun atur visual yang kemas, kreatif dan mesra pembaca.

UPSI turut mencatat kemenangan dalam Kategori Umum & Ilmiah: Buku Sejarah dan Biografi Terbaik melalui buku Persekutuan Melayu Melaka: Sejarah Kepemimpinan Negeri Para Pahlawan Melayu di Mesir dan Sumbangannya, tulisan Muhammad Hafiz Samsuddin, yang mendokumentasikan sejarah masyarakat Melayu di Mesir secara terperinci dan berwibawa.

Dua lagi kategori yang melengkapkan kejayaan UPSI ialah Kategori Kreatif: Cerpen / Perkumpulan Cerpen Terbaik menerusi karya Pertemuan di Tepi Tasik oleh A. Wahab Rauf, serta Kategori Buku Biografi Terbaik melalui Memoir Rimbunan Cinta Bonda, karya Kamariah Kamaruddin.

Profesor Dr. Nordiana berkata, kemenangan ini adalah hasil kesungguhan kolektif para penulis, pereka grafik dan pasukan editorial Penerbit UPSI yang bekerja secara konsisten dalam menjaga kualiti setiap terbitan.

“Kejayaan ini sekaligus membuktikan bahawa warga UPSI—baik penulis mahupun pasukan editorial—sentiasa berusaha menghasilkan karya yang berkualiti, berimpak dan relevan dengan keperluan masyarakat.

Saya amat menghargai dedikasi para penulis, pereka grafik dan seluruh pasukan Penerbit UPSI yang memberi komitmen penuh dalam memastikan setiap naskhah memenuhi piawaian tertinggi. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak karya unggul yang dapat mengangkat nama universiti ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Penerima anugerah bergambar kenangan Bersama Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan), Dr. Laili Farhana binti Md. Ibharim.

Majlis Anugerah Buku Negara tahun ini disempurnakan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali, Pengerusi Panel Juri Antarabangsa, bersama Dr. Hasan Hamzah, Pengerusi Sekretariat Anugerah Buku Negara. Kehadiran mereka menyerikan lagi majlis yang menjadi pentas mengiktiraf kecemerlangan penulis dan penerbit seluruh negara.

Turut hadir mewakili UPSI ialah Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan), Dr. Laili Farhana binti Md. Ibharim, yang bersama-sama meraikan kejayaan para penulis dan pereka grafik yang mengharumkan nama universiti.