Najidah Yahaya (berdiri belakang, kanan) bersama pasukan sukarelawan PFA UPSI menyantuni mangsa pasca banjir di PPS Kuala Slim.Najidah Yahaya (berdiri belakang, kanan) bersama pasukan sukarelawan PFA UPSI menyantuni mangsa pasca banjir di PPS Kuala Slim.

Oleh Bazli Razak

KUALA SLIM, 27 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan komitmen membantu komuniti terjejas bencana melalui Misi Bantuan Awal Psikologi yang digerakkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kuala Slim di Muallim, hari ini.

Misi berkenaan melibatkan kekuatan seramai tiga kakitangan Pusat Kaunseling UPSI dan 10 orang sukarelawan Psychological First Aid (PFA), diketuai oleh Pegawai Pusat Kaunseling, Najidah Yahaya.

Antara intervensi psikologi yang dijalankan sepanjang misi itu termasuk aktiviti psikososial bersama kanak-kanak dan remaja, latihan regulasi emosi untuk golongan dewasa dan warga emas, serta saringan kesihatan mental bagi mengenal pasti tahap tekanan dialami mangsa banjir.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata mobilisasi pasukan psikologi itu selaras dengan komitmen universiti untuk memastikan kebajikan komuniti sentiasa diberi keutamaan, terutama ketika berdepan situasi bencana.

“UPSI tidak pernah berkira tenaga apabila masyarakat memerlukan bantuan. Kepakaran dalam bidang kaunseling dan psikologi yang kita miliki perlu dimanfaatkan untuk mendampingi mangsa yang sedang berada dalam keadaan tertekan dan tidak menentu.

Menurut beliau, sokongan psikologi awal adalah komponen penting dalam pengurusan bencana moden.

“Sokongan awal seperti ini dapat mengurangkan risiko trauma jangka panjang serta membantu mangsa kembali stabil dengan lebih cepat. Saya amat menghargai kesediaan pasukan Pusat Kaunseling UPSI yang bergerak pantas dan berkhidmat dengan penuh dedikasi,” ujar beliau.

Najidah Yahaya (duduk, kanan) ketika menjalankan sesi intervensi psikologi bersama salah seorang mangsa pasca banjir di PPS Kuala Slim.
Suasana sesi intervensi psikologi yang dijalankan oleh sukarelawan PFA bersama kanak-kanak mangsa pasca banjir di PPS Kuala Slim.
 
Suasana sesi intervensi psikologi di PPS SK Batu 10 Lekir, Manjung

Sementara itu, Ketua Pasukan PFA UPSI, Najidah Yahaya, berkata kehadiran pasukannya memberi kelegaan awal kepada mangsa yang berada dalam keadaan tertekan selepas dipindahkan ke PPS.

“Fokus kami adalah memastikan mangsa, terutama kanak-kanak dan warga emas, mendapat ruang untuk menstabilkan emosi dan menghadapi situasi bencana dengan lebih tenang.

“Saringan awal juga penting bagi mengenal pasti individu yang memerlukan intervensi lanjutan,” katanya.

Terdahulu, Pusat Kaunseling UPSI turut menggerakkan Misi Bantuan Awal Psikologi di beberapa PPS sekitar Lumut, Perak, sebagai usaha menyeluruh menyokong kestabilan emosi mangsa banjir di kawasan terjejas serta meneruskan misi sokongan psikologi di beberapa PPS di Daerah Manjung yang terkesan akibat banjir.