Oleh: Norazilawati Abdullah

PUTRAJAYA, 30 November 2025 – Program Tahfiz Cilik Premier Thalatha Tis’a mencatat satu lagi pencapaian bersejarah dalam pendidikan awal kanak-kanak negara apabila seramai 9 daripada 15 orang anak-anak seawal usia 3 tahunberjaya menamatkan hafazan Juzuk 30 dalam tempoh hanya 120 hari.

Pencapaian ini disambut dalam Majlis Haflah Khatam Hafazan Al-Quran Juzuk 30 yang berlangsung penuh keberkatan di Surau Al-Furqan.

Majlis dirasmikan oleh Al-Fadhil Dr. Amru Al Haz Adnan, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan turut diserikan dengan kehadiran tetamu penting antarabangsa dan tempatan, antaranya Ustazah Kasumawati Kasim, Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPPK) JAWI Putrajaya, Ibu Maya Novita, Pengasas Ihyaul Quran, Indonesia.

Rakan-rakan kerjasama strategik Program Thalatha Tis’a dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Yayasan Pahang, UNITEN, KEMAS turut hadir memeriahkan majlis ini.

Program Thalatha Tis’a Berasaskan Kajian UPSI & Model Ihyaul Quran Indonesia

Program Thalatha Tis’a dibangunkan berdasarkan rujukan kurikulum Ihyaul Quran Indonesia, sebuah institusi terkemuka dalam pendidikan hafazan awal kanak-kanak yang kemudiannya diperincikan dan diperluas melalui penyelidikan mendalam oleh pasukan penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak serta pedagogi tahfiz.

Pendekatan ini menekankan tiga tunjang utama iaitu hafazan sistematik dan berskala kecil sesuai perkembangan otak kanak-kanak.

Diikuti dengan pengulangan berstruktur melalui kaedah talaqqi, murajaah, ziyyadah dan stimulasi memori. Serta, kejayaan ini pastinya memerlukan persekitaran pembelajaran positif yang membentuk akhlak, disiplin dan keyakinan diri sejak usia awal.

Model ini menjadikan Thalatha Tis’a antara program tahfiz untuk awal kanak-kanak paling progresif dan efektif di Malaysia. Menurut Dr Sakinah Salleh, Pengarah Pusat Ulul Albab, UPSI Program Thalatha Tis’a yang mengetengahkan konsep hafazan di awal usia ini membantu membentuk ikatan emosi dan spiritual antara kanak-kanak dengan al-Quran.

Pendedahan awal menjadikan mereka lebih mesra al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup sejak kecil.

Beliau turut memaklumkan bahawa Program Hafazan Thalatha Tis’a juga turut diperkenalkan di Taska KEMAS dan juga Taska Tunas Istimewa untuk anak-anak autism.

Pencapaian 120 Hari Bukti Keberkesanan Kurikulum

Menurut Pentadbir Program Thalatha Tis’a Surau Al-Furqan, Dr. Hapidah Mohamed, kejayaan hafazan ini bukanlah sesuatu yang mustahil apabila kurikulum disusun berdasarkan kaedah saintifik perkembangan kanak-kanak.

“Kanak-kanak kami berjaya menghafaz Juzuk 30 dalam masa 120 hari. Ini bukan sekadar angka, tetapi bukti nyata bahawa kurikulum Thalatha Tis’a menepati fitrah, sains dan pedagogi yang sesuai dengan usia. Kami amat berbangga dengan pencapaian mereka,” ujar beliau.

Penaung Program Thalatha Tis’a, Tan Sri Dato’ Seri Idris Jusoh menyifatkan program ini sebagai satu pelaburan besar untuk masa depan negara.

“Melahirkan huffaz seawal usia adalah usaha membina generasi Malaysia Baharu yang berakhlak, berilmu dan mempunyai jati diri Qurani. Program Thalatha Tis’a membuktikan bahawa pendidikan berkualiti tidak mengenal usia. Jika diasuh dengan betul, anak kecil mampu menjadi cahaya kepada keluarga, masyarakat dan negara.”

Beliau turut memuji komitmen UPSI dan Surau Al-Furqan dalam mempelopori pendidikan tahfiz awal yang sistematik dan berdaya saing.

Pengerusi Surau Al-Furqan, Dato’ Sheikh Yahya Sheikh Mohamed, turut menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan ini.

“Surau Al-Furqan komited menjadi pusat komuniti yang bukan sahaja memakmurkan ibadah, tetapi menyebarkan ilmu dan mencetak generasi Qurani. Kejayaan anak-anak ini menunjukkan bahawa apabila ibu bapa, guru dan masyarakat bersatu hati, lahirlah generasi penghafaz yang hebat dan beradab.”

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan ini membuka ruang untuk diperluas ke lebih banyak institusi komuniti di masa hadapan.

Majlis Dihadiri Tetamu Khas dan Ibu Bapa yang Terharu

Majlis berlangsung dalam suasana syahdu dengan alunan surah oleh para huffaz cilik, persembahan doa dan penyampaian sijil kepada para peserta. Ramai ibu bapa sebak menyaksikan anak mereka yang masih kecil melagukan ayat-ayat suci Al-Quran dengan fasih dan penuh penghayatan.

Kehadiran tokoh-tokoh agama, pendidik serta rakan kolaborasi antarabangsa membuktikan bahawa program ini mendapat kepercayaan dan perhatian yang besar dalam dunia pendidikan Islam.

Membentuk Generasi Qurani Masa Depan

Program Thalatha Tis’a kini berdiri sebagai model pendidikan tahfiz awal kanak-kanak yang mampu menjadi rujukan nasional. Melalui gabungan kajian UPSI dan rujukan kurikulum Ihyaul Quran Indonesia, program ini menawarkan pendekatan yang holistik, moden dan berlandaskan kaedah yang sahih.

Dengan pencapaian hafazan anak-anak ini, Thalatha Tis’a kini melangkah lebih jauh sebagai satu inovasi pendidikan yang bakal memperkukuh visi melahirkan “generasi yang memahami, menghayati dan mencintai Al-Quran sejak langkah pertama kehidupan.”