Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon, Aina Marnisa Binti Mohd Yusof, Marsya Nazieha binti Zamzurin & Nur Farah Izwani binti Maz Izwan
Kuala Lumpur, 26 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selaku peneraju pendidikan guru di Malaysia terus komited memupuk budaya pembelajaran holistik yang melangkaui batas bilik kuliah. Sejajar aspirasi tersebut, para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas (ISMP Pkhas) telah menganjurkan satu program lawatan akademik bertajuk “Membongkar Rahsia Dunia Bunyi & Bicara: Jelajah Ilmu ISMP PKhas UPSI ke Klinik Audiologi & Sains Pertuturan UKM.”
Program jelajah ilmu ini bukan sekadar aktiviti luar kampus, malah merupakan inisiatif penting untuk memperkukuh kefahaman klinikal dalam bidang pendengaran dan pertuturan dua aspek kritikal yang sering mempengaruhi perkembangan Murid Berkeperluan Khas (MBPK). Lawatan ke Klinik Audiologi dan Sains Pertuturan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebuah pusat unggul dalam penyelidikan dan perkhidmatan, memberi peluang kepada mahasiswa melihat sendiri aplikasi teori dalam konteks dunia sebenar.

Seramai 58 mahasiswa daripada Program ISMP Pendidikan Khas (AT10) menyertai lawatan berimpak tinggi ini, termasuk 47 orang pelajar yang mengikuti kursus KBD3083 Audiologi dan Alat Bantu Dengar. Program ini dianjurkan dan dibimbing oleh pensyarah kursus, Dr. Vestly Kong Liang Soon, sebagai aktiviti pemerkasaan akademik selari dengan keperluan pembelajaran kursus.
Sebagai bakal pendidik, pendedahan kepada konteks klinikal merupakan elemen penting agar pemahaman mahasiswa tidak terbatas kepada teori semata-mata. Lawatan ini membuka ruang kepada pelajar untuk menyaksikan secara langsung bagaimana perkhidmatan audiologi dan sains pertuturan dijalankan dalam persekitaran profesional.

Program dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan oleh Puan Nur’Izzati Md Yusoff, pakar audiologis UKM. Pelajar diperkenalkan kepada skop kerja ahli audiologi, jenis masalah pendengaran yang lazim dirawat serta teknologi dan peralatan khusus yang digunakan dalam penilaian klinikal. Taklimat turut merangkumi aliran prosedur lengkap, bermula daripada saringan awal, penilaian diagnostic sehinggalah proses pemulihan dan pengurusan pesakit.
Seterusnya, pelajar dibawa melawat ke beberapa fasiliti utama klinik termasuk bilik ujian Otoacoustic Emission (OAE), bilik ujian Auditory Brainstem Response (ABR) serta ruang terapi pertuturan. Sepanjang lawatan, mahasiswa diberikan penerangan terperinci tentang fungsi bilik ujian, peralatan khusus yang digunakan dan kaedah pelaksanaan ujian. Demonstrasi ringkas turut diadakan untuk memberi gambaran sebenar tentang pelaksanaan ujian pendengaran dalam situasi klinikal.

Pengalaman lawatan ini bukan sahaja memantapkan pengetahuan teori pelajar, malah membantu mereka memahami keseluruhan proses pengurusan pesakit dalam bidang audiologi dan sains pertuturan. Pendedahan ini secara langsung meningkatkan kefahaman mereka tentang keperluan MBPK yang mengalami masalah pendengaran dan komunikasi.
