Sukarelawan UPSI merakamkan kenangan bersama Ketua Kampung Sungai Muda, pegawai JKM, pegawai APM dan Anggota RELA daerah Muallim yang turut membantu dalam misi kesukarelawanan pasca banjirSukarelawan UPSI merakamkan kenangan bersama Ketua Kampung Sungai Muda, pegawai JKM, pegawai APM dan Anggota RELA daerah Muallim yang turut membantu dalam misi kesukarelawanan pasca banjir

Oleh: Nurul Farhanna Mohd Faizal

SLIM RIVER, 30 November 2025 — Seramai 15 mahasiswa dari Persatuan Psikologi dan 2 pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan misi sukarelawan pasca banjir di Kampung Sungai Muda, Slim River sebagai usaha membantu penduduk yang terjejas akibat kejadian banjir baru-baru ini.

Operasi ini bertujuan mempercepatkan proses pemulihan komuniti melalui kerja-kerja pembersihan, penyusunan semula kediaman serta sokongan awal kepada keluarga yang terkesan.

Misi bantuan ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada komitmen mahasiswa dalam memenuhi tanggungjawab sosial serta memperkukuh nilai empati dan kepimpinan melalui pengalaman lapangan.

Mahasiswa Psikologi membersihkan rumah penduduk yang terjejas di Kampung Sungai Muda, Slim River
Mahasiswa Psikologi membersihkan rumah penduduk yang terjejas di Kampung Sungai Muda, Slim River
Pihak PDRM dari Balai Polis Slim Village turut membantu membawa sukarelawan masuk ke ceruk kampung

Sepanjang operasi, para sukarelawan terlibat dalam kerja pembersihan rumah, pengalihan perabot yang rosak, pengasingan barangan yang masih boleh digunakan serta membantu membuang sisa lumpur dan sampah pasca banjir.

Usaha ini juga turut dibantu oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Balai Polis Slim Village dan Ahli Jawatankuasa Kampung Sungai Muda dan penduduk setempat bagi memastikan proses
pemulihan berjalan lancar dan selamat.

Penglibatan mahasiswa UPSI bukan sahaja membantu meringankan beban mangsa, malah memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan nilai-nilai kemanusiaan, komunikasi efektif dan kerja berpasukan dalam situasi sebenar.

Aktiviti sebegini penting dalam membentuk jati diri mahasiswa agar lebih peka terhadap isu kemasyarakatan dan cabaran yang dihadapi oleh komuniti terjejas.

Penduduk Kampung Sungai Muda menyambut baik kehadiran para sukarelawan dan menzahirkan rasa penghargaan atas bantuan yang diberikan.

Menurut Ketua Kampung Sungai Muda, Ismail bin Mat Deli, kehadiran mahasiswa UPSI bukan sahaja membantu mempercepatkan proses pembersihan dan pemulihan, malah memberikan sokongan emosi dan psikososial kepada keluarga mangsa yang sedang berusaha bangkit semula selepas bencana.

Menurut Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, Timbalan Dekan Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, sokongan psikososial memainkan peranan besar bagi memastikan mangsa bukan sahaja selamat secara fizikal, tetapi turut pulih secara emosi, sosial dan mental.

Pensyarah di Jabatan Psikologi UPSI, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin yang menyelaras misi tersebut berkata, pengalaman kehilangan harta benda, pemindahan secara tiba-tiba, dan rasa tidak selamat menjadikan mangsa terdedah kepada tekanan emosi yang serius.

Sukarelawan berjalan kaki memasuki kampung untuk membantu membersihkan rumah mangsa yang terjejas
Taklimat keselamatan oleh pihak PDRM daripada Balai Polis Slim Village

Justeru itu, walaupun bantuan fizikal seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian adalah keperluan asas yang mesti dipenuhi, kesejahteraan psikologi mangsa tidak boleh diabaikan.

UPSI melalui inisiatif sukarelawan seperti ini terus komited menyokong pembangunan komuniti serta memperkukuh budaya prihatin dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan usaha universiti membentuk graduan berdaya saing, berjiwa sukarelawan dan berimpak kepada masyarakat.