Oleh: Dr Nurul Hasyimah Mat Rani
Tanjong Malim, 27 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah sebagai pelopor inovasi dalam bidang kaunseling dengan memperkukuhkan perkhidmatan digital melalui Neuro-Immersive Wellness Center.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi impak kepada warga kampus, tetapi kini menembusi sektor industri dan masyarakat setempat yang telah menjadikan UPSI sebagai peneraju dalam membawa teknologi ke arah kesejahteraan mental.
Program bertajuk “Mental Health, Recharge & Restart” yang dilaksanakan baru-baru ini merupakan contoh nyata bagaimana UPSI mengintegrasikan teknologi digital dalam perkhidmatan kaunseling.
Program ini memberi pendedahan kepada kakitangan industri tentang kepentingan kesihatan mental, pengurusan emosi dan strategi membina daya tahan psikologi dalam persekitaran kerja yang mencabar.
Fokus utama program ini adalah meningkatkan kesedaran tentang pengurusan kesihatan mental yang berkesan, menjalankan saringan psikologi serta memperkenalkan kaedah pengurusan stres dan emosi yang praktikal.
Lebih menarik lagi, UPSI memperkenalkan konsep rehat dan rawat diri melalui teknologi Virtual Reality (VR) yang menjadikan pengalaman terapi lebih interaktif dan imersif.
Penggunaan VR dalam sesi relaksasi adalah satu pendekatan baharu yang menjadikan UPSI antara institusi pertama di Malaysia menggabungkan teknologi imersif dengan kaunseling.
Peserta berpeluang merasai pengalaman rawatan digital yang selaras dengan trend global di mana teknologi digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan mental dan produktiviti organisasi.


Menurut Dr. Nurul Hasyimah Mat Rani, UPSI komited untuk memacu transformasi dalam bidang kaunseling dengan memanfaatkan teknologi digital melalui Neuro-Immersive Wellness Center.
“Kami bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kepada warga kampus tetapi juga memperluasnya kepada industri dan komuniti. Ini adalah langkah strategik untuk memastikan kesejahteraan mental menjadi agenda utama dalam pembangunan sumber manusia.”
Inisiatif ini membuktikan bahawa UPSI bukan sekadar institusi pendidikan tetapi juga rakan strategik kepada industri dalam usaha membina ekosistem kerja yang sihat dan produktif.
Dengan sokongan tenaga pakar dan pendekatan inovatif, UPSI mengangkat standard baharu dalam perkhidmatan kaunseling dan menjadikan teknologi sebagai pemangkin kesejahteraan masyarakat.
Langkah ini diharap menjadi model kepada pelaksanaan program kesejahteraan mental di pelbagai sektor, sekaligus mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai pelopor kaunseling digital di Malaysia.
