Oleh: Muhd Ibrahim Muhamad Damanhuri

Hulu Bernam, 28 November 2025 – Program Stemverse: Jelajah Dunia Sains anjuran Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI telah berlangsung dengan penuh meriah di SRITI Ibnu Sina Hulu Bernam, Selangor. Program ini menghimpunkan murid Tahun 4 hingga 6 dalam aktiviti STEM berasaskan KSSR Sains yang direka untuk merangsang kreativiti, minat dan kefahaman mereka terhadap dunia sains.

Pelbagai aktiviti dijalankan secara interaktif, antaranya pembinaan hologram mini, penerokaan mesin ringkas, eksperimen ketumpatan dan daya apungan, pembinaan litar elektrik mini, serta aktiviti roket belon dan model sistem galaksi. Pengalaman belajar secara hands-on ini membantu murid memahami konsep abstrak dengan lebih jelas dan menyeronokkan.

Program komuniti ini selaras dengan inisiatif Program Pemindahan Ilmu (KTP) UPSI bagi memperkukuh hubungan universiti–komuniti dan memastikan manfaat kepakaran akademik dapat disampaikan kepada sekolah luar bandar. Melalui penglibatan aktif lebih 30 mahasiswa Pendidikan Kimia sebagai fasilitator, program ini turut menjadi platform latihan sebenar untuk mahasiswa mengaplikasikan kaedah PdP, komunikasi, keselamatan makmal dan pengurusan aktiviti.

Penyelaras program, Dr. Muhd Ibrahim bin Muhamad Damanhuri, menegaskan bahawa pendedahan awal kepada aktiviti STEM yang menyeronokkan mampu menyemarakkan minat murid terhadap Sains serta membina asas pembelajaran bermakna. Beliau turut menyatakan bahawa usaha sebegini menyokong agenda nasional seperti SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN).

Pihak SRITI turut menzahirkan penghargaan atas komitmen UPSI yang membantu menjayakan pembelajaran sains di sekolah melalui pendekatan kreatif dan mudah difahami. Program berakhir dengan sesi penyampaian cenderamata dan fotografi sebagai tanda penghargaan serta simbolik kepada jalinan kerjasama yang kukuh antara UPSI dan SRITI Ibnu Sina.